TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Klinik Kesihatan Manjalara bakal selesai masalah kesesakan pesakit di Segambut

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR 4 Mac – Penduduk sekitar Segambut akhirnya boleh menarik nafas lega apabila sebuah klinik kesihatan baharu berskala besar bakal dibina di Manjalara, sekali gus menjadi solusi kepada masalah kesesakan yang telah lama membelenggu fasiliti kesihatan sedia ada.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata projek pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 2 ini akan dibangunkan di atas tapak seluas 2.04 ekar dengan peruntukan kira-kira RM85.9 juta di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13)

“Klinik tersebut dijangka siap menjelang tahun 2032, namun kerajaan memberi jaminan akan berusaha mempercepatkan pelaksanaannya tanpa sebarang lanjutan masa,” jelasnya.

Lawatan tapak yang dilakukan oleh Datuk Seri Dzulkefly Ahmad bersama Menteri Wilayah Persekutuan selaku Ahli Parlimen Segambut,  Hannah Yeoh, membuktikan keseriusan kerajaan dalam memastikan projek ini berjalan lancar dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.

Klinik ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 256,000 penduduk, termasuk 110,000 penduduk di kawasan Manjalara sahaja.

Ia juga bakal mengurangkan beban di beberapa klinik berhampiran seperti Klinik Kesihatan Jinjang, Klinik Kesihatan Batu Muda, Klinik Komuniti Metro Prima dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Taman Koperasi Polis yang kini berdepan kesesakan serius.

Lebih menarik, klinik baharu ini akan menawarkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung, termasuk rawatan pesakit luar (OPD), kesihatan ibu dan anak, pergigian, kecemasan, radiologi, makmal, farmasi, rehabilitasi, klinik metadon serta kawalan infeksi.

Menurutnya , pembinaan klinik ini bukan sekadar menambah fasiliti, tetapi merupakan langkah strategik untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan primer negara, dengan fokus kepada pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan hipertensi.

Sementara itu,  Hannah Yeoh, turut meluahkan penghargaan atas kelulusan projek ini, menyifatkannya sebagai hasil usaha berterusan sejak tahun 2018.

Beliau menegaskan bahawa kawasan Segambut yang luas sebelum ini hanya mempunyai satu klinik kecil yang sudah tidak mampu menampung keperluan penduduk.

“Klinik sedia ada bermula dari dewan kecil, kemudian ditambah kabin demi kabin, namun masih tidak mencukupi.

“Keadaan sesak ini amat mencabar, terutama bagi warga emas, ibu dan bayi,” katanya.

Tambah beliau, pengalaman semasa pandemik COVID-19 turut memperlihatkan kelemahan fasiliti sedia ada, sekali gus mengukuhkan keperluan mendesak untuk sebuah klinik yang lebih lengkap dan moden.

Dengan kerjasama antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya serta pihak berkuasa tempatan seperti DBKL, projek ini diharapkan dapat dipercepatkan agar manfaatnya dapat dinikmati lebih awal.

Pembinaan Klinik Kesihatan Manjalara bukan sekadar projek pembangunan, tetapi simbol komitmen kerajaan dalam memastikan akses kesihatan yang lebih adil, efisien dan menyeluruh untuk rakyat.

+ - reset