TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pegawai bank tertipu, rugi RM87,650 angkara 'Love Scam' lelaki menyamar kontraktor Australia

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 4 Mei - Seorang pegawai bank kerugian RM87,650 selepas diperdaya sindiket penipuan ‘Love Scam’ membabitkan lelaki yang menyamar sebagai kontraktor dari Australia.

Mangsa, wanita tempatan berusia 39 tahun yang menetap di Bangsar South, dipercayai berkenalan dengan suspek menggunakan nama ‘David Cheng Lee’ menerusi aplikasi janji temu pada 19 Mac lalu.

Suspek yang mendakwa dirinya warganegara Australia berbangsa Cina memikat mangsa dengan cerita kononnya sedang menguruskan projek loji pembetungan di Kota Bharu, Kelantan sebagai kontraktor persendirian (self-funded contractor).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, selepas berjaya menjalinkan hubungan cinta dan memperoleh kepercayaan mangsa, suspek mula menagih simpati dengan memberi pelbagai alasan berkaitan masalah operasi projek.

“Antaranya termasuklah alasan kerosakan traktor, kekurangan dana untuk pembelian diesel, kos makanan pekerja, serta pembelian bahan kimia projek.

“Terpedaya dengan helah itu, mangsa melakukan 16 transaksi kewangan menggunakan akaun bank miliknya, merangkumi 15 transaksi pindahan wang atas talian dan satu transaksi deposit tunai.

“Pemindahan wang berjumlah RM87,650 itu dimasukkan secara berperingkat dari 1 April hingga 27 April lalu ke lima akaun bank berbeza, yang dipercayai akaun keldai (mule accounts) didaftarkan atas nama individu warga asing,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut beliau, mangsa akhirnya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan sebelum tampil membuat laporan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Siasatan sedang tertumpu kepada pengesanan suspek yang menggunakan dua nombor telefon tempatan serta mengenal pasti pemilik lima akaun bank yang digunakan bagi menerima wang mangsa,” katanya.

+ - reset