TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hentikan budaya mewah, Anwar arah kementerian jimat demi rakyat

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 4 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa langkah penyusunan semula perbelanjaan kerajaan tidak akan menjejaskan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan.

Beliau berkata, pengambilan doktor dan jururawat baharu serta pembinaan klinik kekal diteruskan seperti dirancang, selain projek pembinaan sekolah dan penambahan kelas baharu bagi menampung kemasukan pelajar turut tidak terkesan.

“Pengambilan doktor, jururawat itu tak terjejas, pembinaan klinik tak terkesan, cuma skop hospital yang mewah itu kurangkanlah,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Kementerian bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di sini hari ini.

Anwar turut menjelaskan walaupun peruntukan Kementerian Pendidikan disusun semula, pembinaan kelas-kelas baharu bagi menampung pelajar sedia ada tetap diteruskan tanpa gangguan.

Dalam masa sama, beliau menegur pihak tertentu yang menurutnya terlalu cepat membuat kesimpulan tanpa berasaskan fakta berhubung langkah penjimatan tersebut.

Jelasnya, penjimatan itu memberi tumpuan kepada perbelanjaan yang dianggap berlebihan termasuk penganjuran kursus di luar negara, majlis di hotel mewah serta projek pembangunan yang tidak mengikut keperluan sebenar.

“Kursus yang boleh dilaksanakan dalam negara akan diadakan secara tempatan, manakala majlis rasmi digalakkan diadakan di premis kementerian bagi mengurangkan kos.

“Majlis-majlis di hotel-hotel mewah dihentikan, dibuat di kementerian. Skop pembinaan yang melebihi keadaan biasa itu dikurangkan,” katanya.

Pada 29 April lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa panduan telah dikeluarkan kepada semua kementerian dan agensi bagi menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus, selaras dengan cabaran krisis bekalan global serta peningkatan tanggungan subsidi.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal berhemat bagi memastikan sumber kerajaan dioptimumkan dan sokongan kepada rakyat dapat diteruskan secara berkesan.

+ - reset