Berita Berita
4A pun dapat sumbangan, Ramanan salur RM300,000 rai 934 pelajar cemerlang SPM di Sungai Buloh
SUNGAI BULOH 9 Mei – Seramai 934 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Parlimen Sungai Buloh menerima sumbangan keseluruhan hampir RM300,000 dengan skop penerima diperluaskan kepada pelajar yang memperoleh keputusan 4A hingga 11A.
Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan berkata, peluasan kategori penerima itu dibuat bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar menikmati insentif berkenaan berbanding sebelum ini yang hanya tertumpu kepada calon memperoleh 7A ke atas.
“Sebanyak 934 pelajar SPM 2025 telah menerima sumbangan dan sebenarnya tahun ini kita telah tingkatkan … RM300,000 yang telah disalurkan kepada semua pelajar cemerlang SPM 2025.
“Sebelum ini kita buat hanya untuk 7A ke atas, tapi tahun ini saya bagi 4A, 5A, 6A pun turut dapat sekali. Jadi 4A hingga 11A,” katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025 Parlimen Sungai Buloh di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh mengumumkan pemberian 10,000 unit basikal percuma kepada golongan belia di kawasan itu yang dijangka diagihkan dalam tempoh tiga bulan.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan golongan muda lebih aktif bergerak dan tidak hanya tertumpu di kawasan persekitaran tempat tinggal masing-masing.
Terdahulu dalam ucapannya, Ramanan berkata kejayaan dalam peperiksaan SPM bukan lagi sekadar ukuran pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada pembentukan tenaga kerja masa depan negara.
Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memberi fokus memastikan kecemerlangan pelajar terus dipupuk dan diterjemahkan kepada pembangunan potensi diri secara menyeluruh.
Katanya, usaha itu sekali gus mampu membuka lebih banyak peluang pendidikan, kerjaya dan mobiliti sosial kepada generasi muda.
Menurut beliau, KESUMA menerusi agensinya turut menyediakan pelbagai inisiatif bagi menyokong pembangunan bakat dan kemahiran, termasuk laluan pendidikan berkualiti tinggi melalui Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di bawah Jabatan Tenaga Manusia.
Berita berkaitan
May 9, 2026, 3:44 pm
'Panggillah nama apa sekali pun tak mengapa' - KJ rayu Anwar kembalikan semula GST
May 9, 2026, 12:31 pm
ADUN Bersatu dipecat bukan pembangkang, masih jalan tugas seperti biasa – Sanusi
May 9, 2026, 9:34 am
Budak 12 tahun maut dihempap blok konkrit ketika bermain di Pasir Puteh
May 8, 2026, 6:28 pm
KTMB sedia 186 tren tambahan sempena Aidiladha, cuti sekolah
May 8, 2026, 6:22 pm
