Berita Berita
Sejarah tercipta, Thalapathy Vijay sah dilantik Ketua Menteri Tamil Nadu
CHENNAI 10 Mei – Pelakon popular Tamil, Vijay mencipta sejarah apabila sah dilantik sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu selepas parti pimpinannya berjaya membentuk gabungan bagi menubuhkan kerajaan negeri.
Menurut kenyataan rasmi Lok Bhavan Tamil Nadu, Presiden Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) itu akan mengangkat sumpah jawatan pada majlis yang dijadual berlangsung di Stadium Nehru, Chennai pada jam 10 pagi waktu tempatan, Ahad.
“Gabenor Tamil Nadu berkenan melantik C Joseph Vijay sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu dan menjemput beliau untuk membentuk barisan kementerian negeri,” menurut kenyataan tersebut.
Watikah pelantikan itu diserahkan kepada Vijay selepas beliau menghadap Gabenor Tamil Nadu, Rajendra Vishwanath Arlekar di Lok Bhavan, Chennai pada Sabtu.
Menurut kenyataan sama, Vijay turut menyerahkan surat sokongan beberapa parti termasuk Indian National Congress (INC), Communist Party of India (CPI), Communist Party of India (Marxist), Viduthalai Chiruthaigal Katchi (VCK) dan Indian Union Muslim League (IUML) bagi membentuk kerajaan negeri di bawah kepimpinannya.
Bagaimanapun, Vijay yang turut dikenali dengan gelaran “Thalapathy” dalam kalangan peminat diarahkan mendapatkan undi percaya di Dewan Undangan Negeri selewat-lewatnya Rabu ini.
Dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, TVK yang pertama kali bertanding mencipta kejutan besar apabila memenangi 108 kerusi, namun gagal memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Vijay turut memenangi kerusi Perambur dan Tiruchirappalli East dan dijangka mengosongkan salah satu daripadanya mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya India.
Keputusan pilihan raya tergantung yang diumumkan pada 4 Mei lalu mencetuskan rundingan intensif antara parti-parti politik bagi membentuk gabungan kerajaan negeri.
Pada akhir tahun lalu, pelakon berusia 52 tahun itu memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pelancaran audio filem terakhir lakonannya, Jana Nayagan yang menghimpunkan lebih 85,000 peminat.
Dalam acara berkenaan, Vijay mengumumkan keputusan untuk berundur daripada dunia lakonan bagi memberi sepenuh tumpuan kepada karier politiknya.
Berita berkaitan
May 10, 2026, 9:10 pm
Kerajaan setuju teliti semula subsidi RON95 untuk golongan T20 - Anwar
May 10, 2026, 7:09 pm
Lelaki Myanmar lari lepas rempuh penunggang motosikal hingga maut di Kota Bharu
May 10, 2026, 3:39 pm
Bekas pembantu khas Teresa Kok dijangka didakwa kes rasuah RM500,000 di mahkamah esok
May 10, 2026, 10:49 am
Lelaki maut ditembak depan pusat hiburan di Johor Bahru
May 9, 2026, 3:44 pm
