Berita Berita
HRD Corp rai 934 pelajar cemerlang SPM 2025 di Sungai Buloh, dorong generasi muda bina masa depan lebih baik
SUNGAI BULOH 10 Mei – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meraikan seramai 934 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 daripada 12 sekolah sekitar Sungai Buloh menerusi Program Sumbangan Pelajar Cemerlang dengan jumlah sumbangan keseluruhan RM318,900.
Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dan menghimpunkan kira-kira 2,000 hadirin terdiri daripada pelajar, ibu bapa serta komuniti setempat.
Inisiatif berkenaan bertujuan mengiktiraf kecemerlangan pelajar di samping menggalakkan pembangunan berterusan melangkaui pencapaian akademik, selari dengan usaha KESUMA dan HRD Corp memperkukuh pembangunan kemahiran serta kebolehpasaran generasi muda.
Program itu turut mengetengahkan pendekatan lebih inklusif apabila bukan sahaja meraikan pelajar dengan keputusan tertinggi, malah menghargai pelajar yang memperoleh keputusan 4A dan ke atas.
Menurut kenyataan HRD Corp, pendekatan tersebut mencerminkan keyakinan bahawa setiap pencapaian mempunyai nilai tersendiri dan wajar diberikan pengiktirafan serta galakan untuk terus maju.
Dalam ucapannya, Ramanan menekankan kepentingan pembangunan kemahiran dan peranan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam menyediakan lebih banyak peluang kepada generasi muda membina masa depan lebih baik.
“Institusi TVET di bawah KESUMA seperti Kolej ADTEC terus menunjukkan pencapaian memberangsangkan, dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 95.5 peratus. Ini membuktikan bahawa laluan kemahiran juga mampu membuka peluang kerjaya yang baik kepada generasi muda,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Shamir Aziz berkata, inisiatif seperti itu bukan sahaja bertujuan mengiktiraf pencapaian pelajar, malah menjadi dorongan kepada generasi muda untuk terus berusaha dan membina masa depan lebih baik.
“Kejayaan bukan datang dengan mudah. Teruskan bekerja keras, percaya kepada diri sendiri dan jangan lupa ibu bapa yang sentiasa berada di sisi kita sepanjang perjalanan hidup. Walau sejauh mana kita melangkah dalam kehidupan, pada mereka kita tetap anak kecil yang sentiasa mereka doakan kejayaannya,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KESUMA, Dr. Hj. Mohd Shaharin Umar serta Pengerusi HRD Corp, Datuk Rusli Jaafar.
Menurut HRD Corp, menerusi inisiatif seperti itu agensi berkenaan terus memacu agenda MADANI dengan memperkasa individu, mengangkat komuniti serta membina tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan negara. - Media Telus
Berita berkaitan
May 10, 2026, 9:10 pm
Kerajaan setuju teliti semula subsidi RON95 untuk golongan T20 - Anwar
May 10, 2026, 7:09 pm
Lelaki Myanmar lari lepas rempuh penunggang motosikal hingga maut di Kota Bharu
May 10, 2026, 3:39 pm
Bekas pembantu khas Teresa Kok dijangka didakwa kes rasuah RM500,000 di mahkamah esok
May 10, 2026, 10:49 am
Lelaki maut ditembak depan pusat hiburan di Johor Bahru
May 10, 2026, 8:09 am
Sejarah tercipta, Thalapathy Vijay sah dilantik Ketua Menteri Tamil Nadu
May 9, 2026, 3:44 pm
