TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan setuju teliti semula subsidi RON95 untuk golongan T20 - Anwar

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 10 Mei – Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menyemak semula pemberian subsidi petrol RON95 yang ketika ini turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi atau T20.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sedang diperhalusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican sejak sebulan lalu.

"Jadi, mereka sedang menelitinya. Saya harap kita akan memuktamadkannya nanti," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan subsidi bersasar secara lebih menyeluruh termasuk mengkaji semula pemberian subsidi petrol RON95 kepada golongan T20.

Menurut beliau, subsidi berkenaan lebih wajar diberikan kepada golongan B40 dan M40 yang lebih terkesan dengan peningkatan kos sara hidup selain membantu memperkukuhkan ekonomi negara dalam situasi ketidaktentuan global.

Cadangan itu merupakan antara 25 resolusi utama yang dibincangkan dalam program Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 2.0 yang memfokuskan isu kedaulatan ekonomi negara semalam.

Ketika ini, semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) tanpa mengira kategori pendapatan.

+ - reset