TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan belum bincang klasifikasi baharu T20, fokus perluas BUDI Diesel - Amir Hamzah

By
|
Kongsi
image

BALIK PULAU 18 Mei – Kerajaan menegaskan setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi dijalankan untuk mewujudkan klasifikasi baharu membabitkan kumpulan berpendapatan tinggi bagi tujuan pelunasan subsidi bersasar.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, buat masa ini fokus utama Kementerian Kewangan adalah untuk terus memperkemas serta menambah baik pelaksanaan inisiatif program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) sedia ada.

"Kami tidak membincangkan apa-apa untuk klasifikasi T20, kita tidak bincang lagi, jadi saya tidak tahu macam mana yang (isu) T20 ini keluar.

"Pendekatan kita ialah untuk melihat penggunaan diesel untuk seluruh negara. Kita menggunakan pendekatan yang dibuat dalam BUDI Diesel kerana kita berasakan sistem yang ada itu cukup lengkap dan adil untuk semua orang dan kita akan memperluas ke Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Blok Tambahan Kelas Prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Tan Sri Awang Had Salleh, di sini hari ini.

Mengulas mengenai permintaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi bahan api bulanan 300 liter bawah inisiatif BUDI95 kepada warga pendidik, Amir Hamzah menjelaskan sebarang keputusan perlu mengambil kira dinamika kos pasaran minyak global yang tidak menentu.

Beliau mendedahkan bahawa konflik berterusan di Asia Barat telah memberi tekanan hebat kepada rantaian bekalan minyak dunia, sekali gus menyebabkan bil subsidi kerajaan melonjak drastik daripada sekitar RM700 juta sebulan kepada hampir RM7 bilion pada Mac lepas, sebelum menunjukkan trend penurunan ke paras RM3.5 hingga RM4 bilion kebelakangan ini.

Oleh itu, strategi fiskal kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan bekalan bahan api domestik kekal mencukupi di samping terus mempromosikan amalan penggunaan tenaga yang berhemat dalam kalangan pengguna.

Dalam perkembangan berasingan, Amir Hamzah turut memaklumkan bahawa golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kini boleh memanfaatkan dana berjumlah RM5 bilion menerusi Kemudahan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME SRF) yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Melalui skim bantuan kewangan tersebut, pengusaha PMKS yang memenuhi kriteria kelayakan berpeluang memohon pembiayaan sehingga RM750,000 dengan tawaran kadar faedah atau keuntungan maksimum yang kompetitif iaitu pada paras 3.7 peratus setahun.

+ - reset