TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Melaka hampir pasti dalam tempoh empat bulan lagi - Ab Rauf

By
|
Kongsi
image

MASJID TANAH 18 Mei – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hampir pasti akan diadakan dalam tempoh 120 hari atau empat bulan dari sekarang tanpa perlu menunggu tarikh pembubaran automatik bagi mengelakkan pertindihan dengan bulan Ramadan tahun hadapan.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang melihat keperluan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat lebih awal sebelum penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 30 Disember ini.

Beliau menjelaskan, sekiranya DUN dibubarkan pada tarikh akhir pas, tempoh 60 hari yang diperuntukkan oleh perlembagaan untuk mengadakan pilihan raya bakal mengheret proses pengundian sehingga ke bulan Februari, iaitu waktu yang sudah terlalu hampir dengan bulan puasa.

"Jadi kita melihat waktu yang sesuai dalam tempoh 120 hari ini dan kebolehupayaan untuk mengadakan pilihan raya mengikut perancangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sirih Pulang Ke Gagang di Villa D' Acqua Kampung Pulau, di sini semalam.

Ab Rauf yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah memaklumkan bahawa jentera parti sebenarnya telah pun memulakan persiapan rapi sejak tahun lalu dengan mengaktifkan semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh pelosok negeri bagi mendepani tempoh berkempen yang biasanya berjalan selama dua minggu.

Mengulas mengenai hala tuju dan strategi politik sama ada BN Melaka bakal mengikut jejak langkah BN Johor untuk bertanding secara solo atau mengekalkan formula kerjasama dengan gabungan lain, beliau menegaskan keputusan muktamad mengenainya masih belum diputuskan lagi.

Untuk rekod, pada saingan PRN Melaka Ke-15 yang diadakan pada November 2021 lalu, BN berjaya mencatatkan kemenangan besar dengan menguasai majoriti dua pertiga selepas memenangi 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

+ - reset