Berita Berita
Nahas tiga kenderaan di PLUS: Kelindan lori maut, besi pembahagi jalan tercampak ke laluan bertentangan
KULAI 18 Mei – Seorang pembantu pemandu lori menghembuskan nafas terakhir selepas kenderaan berat yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan rantaian bersama sebuah kereta dan sebuah van di Kilometer 19.9, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee memaklumkan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan pada jam 3.40 pagi.
Siasatan awal mendapati insiden berpunca apabila lori yang dikendalikan lelaki tempatan berusia 30 tahun bersama mangsa yang berusia 39 tahun, bertindak mengubah laluan dari lorong kiri ke lorong kanan lebuh raya.
Tindakan itu menyebabkan sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 27 tahun dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh lori berkenaan, sekali gus mengakibatkan kenderaan berat itu hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan.
Lori tersebut kemudiannya merempuh besi pembahagi jalan serta tiang papan tanda di kawasan tengah lebuh raya dengan kuat sehinggakan struktur besi penghadang yang patah tercampak masuk ke laluan bertentangan (arah selatan) sebelum dilanggar oleh sebuah van yang dipandu wanita berusia 35 tahun.
Akibat impak pelanggaran itu, kelindan lori terbabit mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Kulai.
Sementara itu, pemandu lori serta pemandu kereta dilaporkan hanya mengalami luka ringan dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut, manakala pemandu van terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Kes kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan menyeluruh. Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507.
Berita berkaitan
May 18, 2026, 12:32 pm
Loke puji hanya Anwar berani buka laluan UEC ke universiti awam
May 18, 2026, 12:04 pm
'Sakit hati lihat komen negatif, ingat pelajar tahfiz ni cikai ke?' - Asyraf Wajdi
May 18, 2026, 11:28 am
Ramai terlewat ke tempat kerja, LRT laluan Kelana Jaya rosak pagi tadi
May 18, 2026, 11:16 am
PH yakin hadapi PRN, PRU, gelombang sokongan rakyat kembali memuncak - Yuneswaran
May 18, 2026, 9:26 am
UEC diiktiraf ke IPTA, GPMS rancang himpunan `Korban Akta Pendidikan’ di KPT 30 Jun ini
May 18, 2026, 8:38 am
PRN Melaka hampir pasti dalam tempoh empat bulan lagi - Ab Rauf
May 18, 2026, 8:29 am
