Berita Berita
Saman fitnah isu 'bawa RM2 juta ke Singapura', Papagomo diarah bayar ganti rugi RM280,000 kepada Guan Eng, anak
KUALA LUMPUR 19 Mei – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan aktivis politik, Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM280,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anak lelakinya berhubung kes saman fitnah.
Hakim Roslan Mat Nor membuat keputusan tersebut selepas membenarkan tuntutan saman yang dikemukakan oleh Guan Eng dan Clint Lim Way Chau selaku pihak plaintif terhadap Wan Muhammad Azri selaku defendan.
Saman berkenaan difailkan rentetan penyebaran berita palsu membabitkan dakwaan penahanan Way Chau di Singapura ekoran tindakan membawa masuk wang tunai bernilai RM2 juta tanpa pengisytiharan sah pada tahun 2020.
"Mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi global berjumlah RM200,000 dan kos RM30,000 kepada plaintif pertama (Guan Eng) serta membayar ganti rugi RM80,000 dan kos RM10,000 kepada plaintif kedua (Way Chau)," kata Hakim Roslan ketika membacakan keputusan tersebut.
Mengikut rekod kes, Guan Eng bersama anak lelakinya memfailkan tindakan undang-undang itu pada 19 April 2020 selepas mendakwa defendan secara sengaja telah menerbitkan kenyataan berbaur fitnah di laman Facebook miliknya.
Hantaran fitnah yang dimuat naik menerusi akaun di bawah nama 'Papa Azri' pada 14 Mac 2020 itu mendakwa Way Chau telah ditahan oleh pihak berkuasa di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 29 Februari 2020 kerana gagal mengisytiharkan dana tunai berjumlah RM2 juta.
Guan Eng dalam pernyataan tuntutannya turut menegaskan bahawa kenyataan defendan yang mendakwa beliau bergegas ke Singapura pada tarikh berkenaan bagi menyelamatkan anaknya adalah rekaan sepenuhnya yang berniat jahat bagi menjatuhkan reputasi mereka anak-beranak serta imej politik beliau.
Berita berkaitan
May 19, 2026, 4:48 pm
KPM peruntuk RM169 juta sedia tablet untuk murid sekolah rendah
May 19, 2026, 3:01 pm
Kad janji temu bahasa Cina, KKM jamin ambil tindakan sewajarnya
May 19, 2026, 2:18 pm
'Pastikan Pandan terus kekal milik PKR' - Anwar
May 19, 2026, 2:06 pm
Pemandu lori didakwa rotan, tampar anak tiri hingga cedera kerana mahu ke sekolah awal
May 19, 2026, 1:09 pm
