Berita Berita
Pemandu lori didakwa rotan, tampar anak tiri hingga cedera kerana mahu ke sekolah awal
BATU PAHAT 19 Mei – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret Yong Peng hari ini atas pertuduhan merotan dan menampar anak perempuan tirinya berusia 12 tahun sehingga cedera dalam dua kejadian berasingan di Rengit.
Tertuduh, Jumezan Tukimin, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja merotan dan menampar pipi mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah rumah di Rengit pada jam 1 tengah hari dan 4 petang, masing-masing pada April dan 13 Mei lalu.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum jika kesalahan dilakukan terhadap ahli keluarga.
Berdasarkan laporan dibuat ibu mangsa yang juga isteri tertuduh, mangsa dirotan sebanyak tiga kali dan ditampar di pipi kerana mahu ke sekolah lebih awal selain tidak menyiapkan kerja rumah.
Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian pipi dan kaki akibat dipukul tertuduh.
Susulan laporan diterima, polis menahan tertuduh dan merampas rotan dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi sebutan kes selain menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi semua pertuduhan.
Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan memandangkan tertuduh hanya memperoleh pendapatan RM1,700 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi semua pertuduhan, namun gagal membayar jumlah tersebut sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Jun ini bagi serahan dokumen.
Berita berkaitan
May 19, 2026, 4:48 pm
KPM peruntuk RM169 juta sedia tablet untuk murid sekolah rendah
May 19, 2026, 3:01 pm
Kad janji temu bahasa Cina, KKM jamin ambil tindakan sewajarnya
May 19, 2026, 2:18 pm
'Pastikan Pandan terus kekal milik PKR' - Anwar
May 19, 2026, 1:09 pm
