TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lembu mengamuk dan agresif: MB Perlis jelaskan punca tembak seekor lembu korban di bahagian kaki

By
|
Kongsi
image

KANGAR 29 Mei – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah tampil menjelaskan bahawa tindakan beliau menembak seekor lembu korban seperti dalam video tular adalah bertujuan untuk mengawal haiwan berkenaan yang sedang mengamuk dan bertindak agresif.

Beliau memaklumkan insiden tersebut berlaku ketika Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis yang diadakan di Dataran Lok 9, Kuala Perlis dekat sini, semalam.

Menurutnya, daripada keseluruhan 25 ekor lembu yang disediakan untuk program tersebut, hanya seekor sahaja yang terlepas serta bertindak agresif sehingga mampu membahayakan keselamatan orang awam di lokasi.

"Jadi bagi mengelak sebarang mudarat atau bahaya kepada petugas atau orang ramai, tembakan disasarkan pada bahagian kaki," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau menegaskan tindakan itu terpaksa diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, seperti petugas ditanduk oleh haiwan berkenaan yang boleh mengancam nyawa atau menyebabkan kematian.

"Saya tembak pada bahagian kaki sahaja. Lembu itu tidak mati akibat tembakan dan selepas berjaya dikawal, proses penyembelihan dilakukan seperti biasa mengikut prosedur korban," jelas beliau lagi.

Dalam program korban perdana berkenaan, Abu Bakar yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis telah menyembelih sendiri kesemua 25 ekor lembu sebelum dagingnya diagihkan kepada hampir 5,000 penduduk sekitar.

+ - reset