Berita Berita
Misteri kehilangan terjawab: Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam MPV selepas seminggu hilang
GEORGE TOWN 29 Mei – Misteri kehilangan seorang lelaki sejak hampir seminggu lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Sungai Dua, Gelugor di sini, hari ini.
Mayat lelaki berusia 37 tahun itu ditemukan dalam keadaan sudah berbau di dalam sebuah MPV jenis Perodua Alza oleh orang awam pada kira-kira jam 1 tengah hari, dan mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.
Isteri mangsa yang enggan dikenali memaklumkan bahawa suaminya, yang juga menghidap penyakit diabetes, telah keluar dari rumah pada Rabu minggu lalu untuk ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dan dijadualkan pulang pada Sabtu.
"Semasa dalam perjalanan, dia ada memaklumkan perlu ke pejabatnya di Bayan Baru sebelum saya gagal menghubunginya kira-kira jam 11 malam," katanya yang turut membuat laporan polis pada Sabtu lalu selepas suaminya gagal dihubungi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihak polis menerima maklumat awal mengenai penemuan kenderaan tersebut daripada orang awam pada jam 11.47 pagi.
Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Ayer Itam itu ditemukan dalam keadaan berpakaian kemas serta sedang berbaring di tempat duduk pemandu kereta milik isterinya yang berkunci dari dalam.
"Hasil siasatan pada badan mangsa dan kawasan sekitar mendapati tiada sebarang unsur jenayah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pihak polis menganggarkan mangsa telah meninggal dunia kira-kira lima hari sebelum ditemukan, dan mayatnya kini dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes berkenaan buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut, dan satu Laporan Mati Mengejut telah dibuka oleh pihak polis untuk siasatan lanjut.
Berita berkaitan
May 29, 2026, 10:56 pm
Jemaah Malaysia pembersih, jadi contoh di Tanah Suci - Menteri Agama
May 29, 2026, 8:20 pm
JPN terima 1,575 permohonan ringkaskan nama panjang sejak 2024
May 29, 2026, 7:30 pm
PJ bakal dapat hospital kerajaan baharu, dibina secara vertikal di Taman Medan
May 29, 2026, 5:41 pm
KPM sambut baik pemberian baucar buku RM100 kepada pelajar
May 29, 2026, 5:33 pm
Audit menyeluruh sistem LRT, MRT mungkin dilaksana - Anthony Loke
May 29, 2026, 5:00 pm
Polis siasat dakwaan kanak-kanak dipaksa minum air cili di taska di Kluang
May 29, 2026, 4:13 pm
