TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PJ bakal dapat hospital kerajaan baharu, dibina secara vertikal di Taman Medan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 Mei – Hospital Petaling Jaya yang bakal dibina di Taman Medan akan menggunakan konsep vertikal dan mampu menampung kapasiti sehingga 500 katil.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, konsep sama sebelum ini telah dilaksanakan di Hospital Ampang bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dan kos pembinaan tanpa memerlukan kawasan terlalu luas.

Menurut beliau, kerajaan negeri menyambut baik pengumuman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung persetujuan lokasi tapak bagi pembinaan hospital awam itu.

“Usaha mencari tapak bagi hospital awam Petaling Jaya sudah digerakkan secara aktif oleh kerajaan negeri sejak 2018 dengan mengambil kira peningkatan jumlah penduduk di daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta orang.

“Di Petaling Jaya sahaja, jumlah penduduk kini melebihi 800,000 orang dan mereka ketika ini banyak bergantung kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Dzulkefly dilaporkan berkata, kompleks sukan moden di tapak seluas enam hektar iaitu X Park PJ South di Taman Medan dikenal pasti sebagai lokasi pembinaan hospital awam bagi memenuhi keperluan penduduk Petaling Jaya, Subang dan Puchong.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Hospital Sungai Buloh kini mempunyai kapasiti 1,037 katil, Hospital Shah Alam pula 490 katil manakala PPUM sebanyak 946 katil.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani isu kesesakan hospital awam di Selangor termasuk menerusi pembinaan Hospital Cyberjaya dan Hospital Tanjong Karang yang siap pada 2022.

“Hospital Cyberjaya mempunyai kapasiti 288 katil manakala Hospital Tanjong Karang pula 150 katil dan kedua-duanya dibina hasil kerjasama KKM bersama kerajaan negeri dari segi urusan tanah.

“Selain itu, Hospital Kapar berkapasiti 312 katil yang dijadual siap hujung tahun ini juga dijangka membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Hospital Shah Alam,” katanya.

Menurut beliau, lokasi tapak Hospital Petaling Jaya yang dipersetujui KKM amat bersesuaian dengan keperluan penduduk setempat terutama dari segi akses, kapasiti, kos tanah serta kedudukannya berhampiran kawasan tumpuan penduduk.

Amirudin berkata, lawatan tapak oleh KKM akan dilaksanakan minggu ini dengan penyertaan beberapa agensi serta pegawai kerajaan negeri termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pejabat Daerah Petaling.

Katanya, kerajaan negeri komited memudahcara dan mempercepatkan proses berkaitan urusan tanah bagi memastikan projek Hospital Petaling Jaya dapat direalisasikan demi manfaat penduduk sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong.

+ - reset