TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPN terima 1,575 permohonan ringkaskan nama panjang sejak 2024

By
|
Kongsi
image

MARANG 29 Mei – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sebanyak 1,575 permohonan daripada ibu bapa yang ingin meminda serta meringkaskan nama panjang anak pada sijil kelahiran bagi tempoh sejak tahun 2024 sehingga hari ini.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias memperincikan bahawa sebanyak 719 permohonan diterima pada 2024, disusuli 624 permohonan pada 2025, dan baki 232 permohonan lagi dicatatkan sejak Januari tahun ini.

Beliau menjelaskan, walaupun pihak JPN tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada mendaftarkan nama anak yang panjang, masyarakat dinasihatkan agar memikirkan implikasi urusan rasmi pada masa hadapan.

"Berdasarkan pengalaman kami, ramai ibu bapa yang memilih nama panjang akhirnya kembali untuk meminda dan meringkaskan nama anak mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Santuni MADANI di Masjid Kampung Padang Tanjung dekat Bukit Payong di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Badrul Hisham memaklumkan JPN kini berada di peringkat akhir persediaan bagi melaksanakan penguatkuasaan pindaan Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan berhubung isu kewarganegaraan.

Menerusi pindaan yang telah diluluskan di Parlimen itu, anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia kini layak memperoleh kewarganegaraan secara automatik, sekali gus menyelesaikan isu ketidakseimbangan hak yang dihadapi kaum ibu sebelum ini.

Pihak JPN kini hanya menunggu tarikh penguatkuasaan rasmi undang-undang tersebut untuk dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara.

Terdahulu, dalam program santuni tersebut, sebanyak empat ekor lembu telah dikorbankan untuk agihan komuniti setempat, selain beliau turut merasmikan dewan makan Masjid Kampung Padang Tanjung yang dibina melalui peruntukan Kampung Angkat MADANI JPN bagi tahun 2025.

+ - reset