Berita Berita
Pendaki hilang di Gunung Batu Putih: Saarani minta bantuan kepakaran Tok Batin Orang Asli
TAPAH 29 Mei – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meminta kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk Tok Batin Orang Asli untuk tampil membantu memperkukuh operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih.
Beliau berkata, penglibatan aktif komuniti Orang Asli dilihat mampu memberikan kelebihan besar dalam usaha mengesan mangsa memandangkan kepakaran serta kearifan mereka mengenai selok-belok kawasan hutan di situ.
"Saya berpuas hati dengan taklimat yang diberikan, di mana semua pihak terlibat termasuk polis, bomba dan agensi berkaitan telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik. Difahamkan Tok Batin Orang Asli juga akan turut campur tangan selepas ini bagi membantu usaha pencarian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi SAR di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh di sini, hari ini.
Menurut Saarani, operasi SAR yang kini telah memasuki tempoh hampir seminggu akan terus dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan sebelum sebarang keputusan lanjut mengenai status pencarian dibuat.
Beliau menegaskan pihak berkuasa tidak akan berputus asa dan sekiranya operasi masih belum membuahkan hasil, keputusan seterusnya akan diambil menyamai pendekatan yang pernah dilaksanakan dalam kes orang hilang di Gopeng sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa aktiviti pendakian yang disertai oleh mangsa di kawasan Hutan Simpan Kekal tersebut didapati telah mematuhi keseluruhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Selain memperoleh kebenaran bertulis, ekspedisi yang disertai mangsa bersama 13 individu lain melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh itu turut diketuai oleh seorang malim gunung yang berpengalaman. Malah, insiden ini merupakan kali kedua mangsa memasuki kawasan hutan berkenaan.
Saarani turut memaklumkan bahawa ahli keluarga mangsa berada dalam keadaan tabah dan reda. Pihak Pejabat Daerah juga telah menyediakan bantuan keperluan asas, makanan, serta kemudahan penginapan di surau pusat kawalan atas permintaan keluarga yang mahu berada lebih dekat dengan lokasi operasi.
Berita berkaitan
May 29, 2026, 10:56 pm
Jemaah Malaysia pembersih, jadi contoh di Tanah Suci - Menteri Agama
May 29, 2026, 8:20 pm
JPN terima 1,575 permohonan ringkaskan nama panjang sejak 2024
May 29, 2026, 7:30 pm
PJ bakal dapat hospital kerajaan baharu, dibina secara vertikal di Taman Medan
May 29, 2026, 5:41 pm
KPM sambut baik pemberian baucar buku RM100 kepada pelajar
May 29, 2026, 5:33 pm
Audit menyeluruh sistem LRT, MRT mungkin dilaksana - Anthony Loke
May 29, 2026, 5:00 pm
Polis siasat dakwaan kanak-kanak dipaksa minum air cili di taska di Kluang
May 29, 2026, 4:13 pm
