Berita Berita
Audit menyeluruh sistem LRT, MRT mungkin dilaksana - Anthony Loke
KUALA LUMPUR 29 Mei – Kementerian Pengangkutan tidak menolak kemungkinan audit dalaman menyeluruh dilakukan terhadap sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) di bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad susulan insiden tren tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama pengurusan Prasarana bagi memastikan tahap keselamatan sistem rel negara sentiasa terjamin.
Menurut beliau, pasukan petugas khas yang ditubuhkan kerajaan bukan sahaja menyiasat punca kejadian, malah turut meneliti aspek penyelenggaraan yang diamalkan syarikat pengendali berkenaan.
“Pasukan petugas khas akan melihat keseluruhan punca kejadian dan juga dari segi regim maintenance dalam Prasarana.
“Namun begitu, dari segi keseluruhan sistem LRT dan MRT di bawah kendalian Prasarana, itu mungkin perlu buat satu audit dalaman terhadap keseluruhan sistem itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau lokasi insiden tren tergelincir di Stesen LRT Chan Sow Lin, hari ini.
Anthony berkata, penyelenggaraan landasan sebenarnya dilakukan setiap malam ketika waktu kejuruteraan selepas operasi tren tamat.
Menurutnya, kerja penyelenggaraan lazimnya dijalankan antara tengah malam hingga pukul 5 pagi bagi memastikan landasan dan sistem rel berada dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan perlu menentukan sama ada komponen suis landasan yang terlibat dalam kejadian itu disenggara dengan sempurna atau sebaliknya.
“Penyelenggaraan harian memang dibuat, tetapi sama ada switch station itu disenggara dengan baik ataupun berada dalam keadaan yang baik, itu perlu disiasat melalui siasatan yang lebih mendalam,” ujarnya.
Beliau berkata, semua log sistem termasuk rekod pusat kawalan operasi (OCC), sistem isyarat serta maklumat berkaitan akan diperiksa oleh pasukan petugas khas.
Katanya, kakitangan yang bertugas di pusat kawalan dan pemandu tren juga akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Anthony menegaskan kerajaan tidak akan menyembunyikan sebarang dapatan kerana insiden itu perlu dijadikan pengajaran untuk memperkukuhkan budaya integriti dan akauntabiliti dalam sektor pengangkutan awam.
Terdahulu, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin sehingga menyebabkan gangguan operasi dan perubahan jadual perjalanan penumpang.
Berita berkaitan
May 29, 2026, 10:56 pm
Jemaah Malaysia pembersih, jadi contoh di Tanah Suci - Menteri Agama
May 29, 2026, 8:20 pm
JPN terima 1,575 permohonan ringkaskan nama panjang sejak 2024
May 29, 2026, 7:30 pm
PJ bakal dapat hospital kerajaan baharu, dibina secara vertikal di Taman Medan
May 29, 2026, 5:41 pm
KPM sambut baik pemberian baucar buku RM100 kepada pelajar
May 29, 2026, 5:00 pm
Polis siasat dakwaan kanak-kanak dipaksa minum air cili di taska di Kluang
May 29, 2026, 4:13 pm
