Berita Berita
Isu bubar DUN Negeri Sembilan: Mohamed Khaled bidas Anthony Loke, ingatkan perlu patuh prosedur istana
KOTA TINGGI 2 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kenyataan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan boleh dibubarkan serta-merta susulan pembubaran DUN Johor sebagai satu pandangan yang tidak mengambil kira proses perundangan serta perlembagaan tubuh negeri berkenaan.
Beliau yang juga merupakan Menteri Pertahanan menegaskan bahawa proses pembubaran DUN Negeri Sembilan tidak boleh dilakukan secara mudah. Hal ini kerana ia wajib melalui prosedur khusus yang membabitkan institusi beraja iaitu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta institusi adat Undang Luak Yang Empat.
"Saya sebenarnya tak mahu jawab kerana mahu menjaga hubungan (dengan Kerajaan Perpaduan) tetapi hakikatnya ia tidak boleh berlaku begitu.
"Di Negeri Sembilan, seseorang tidak boleh bertindak sendiri. Perkara itu perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan baginda pula tidak boleh bertindak secara bersendirian kerana perlu bersama Empat Undang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi yang diadakan di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang di sini hari ini.
Mohamed Khaled diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang dilaporkan berkata bahawa Negeri Sembilan bersedia untuk membubarkan DUN 'esok' sekiranya Johor mengambil langkah membubarkan DUN terlebih dahulu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa sebarang keputusan muktamad berkaitan pembubaran DUN Negeri Sembilan memerlukan persetujuan bersama antara institusi Yang di-Pertuan Besar dan Undang Luak Yang Empat. Jika tiada persetujuan dicapai daripada kedua-dua pihak tersebut, maka Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak akan dapat dilaksanakan di negeri itu.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN ke-16. Mengikut peruntukan undang-undang semasa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh masa sehingga 60 hari dari tarikh pembubaran untuk menganjurkan pilihan raya.
Sebagai rekod, pada PRN Johor ke-15 yang diadakan pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menguasai majoriti dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) sekadar memenangi 12 kerusi (DAP 10 kerusi, PKR satu kerusi, Amanah satu kerusi), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi, dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendapat satu kerusi.
Berita berkaitan
June 2, 2026, 4:44 pm
Baki penggal masih panjang, Pulau Pinang tolak PRN serentak dengan PRU-16
June 2, 2026, 3:21 pm
Penunggang motosikal maut terjunam gaung 10 meter di Puncak Gerik
June 2, 2026, 1:51 pm
Kerajaan belanja hampir RM1.9 juta sehari untuk tahanan warga asing
June 2, 2026, 12:39 pm
Pemuda Pas gesa UMNO siasat segera kes senator didakwa tampar cucu Nik Aziz
June 2, 2026, 12:15 pm
