Berita Berita
MHO dakwa terima maklumat sindiket scammer antarabangsa kini jadikan Malaysia 'centre' baharu
KUALA LUMPUR 2 Jun – Malaysia dipercayai menjadi lokasi baharu operasi sindiket penipuan dalam talian antarabangsa susulan tindakan penguatkuasaan yang semakin ketat di beberapa negara jiran yang sebelum ini dikenal pasti sebagai pusat kegiatan jenayah berkenaan.
Setiausaha Agung Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa sindiket scammer yang sebelum ini aktif di Thailand, Kemboja, Laos dan Myanmar kini mula beralih dan menjalankan operasi mereka di negara ini.
Menurut beliau, maklumat yang diperoleh pihaknya menunjukkan kegiatan tersebut didalangi oleh warga China dan dipercayai beroperasi di dua lokasi tersorok sejak kira-kira enam bulan lalu.
“Kami ada maklumat bahawa aktiviti ‘scammer’ ini sedang aktif berlaku di negara kita tetapi kami tidak boleh mendedahkan lokasi. Sebaliknya, semua maklumat yang kami terima akan diberikan kepada pihak polis.
“Selama ini MHO berhabis-habisan membantu selamatkan mangsa di Myanmar dan Kemboja, tapi agak memalukan apabila Malaysia pula yang jadi tempat utama sindiket scammer ini.
“Sebelum orang lain bongkarkan, baik kita yang tolong bongkarkan sendiri supaya jenayah ini tidak berleluasa di negara kita,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Hishamuddin berkata, peralihan operasi sindiket ke Malaysia dipercayai berlaku susulan tekanan dan tindakan penguatkuasaan yang semakin agresif di negara-negara yang sebelum ini menjadi tumpuan kegiatan penipuan rentas sempadan.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan pengaruh sindiket berkenaan yang didakwa berjaya memperdaya golongan muda melalui tawaran pekerjaan yang kelihatan menarik tetapi sebenarnya palsu.
Menurutnya, ramai anak muda lebih mudah mempercayai tawaran yang disampaikan oleh rakan atau kenalan sendiri berbanding amaran serta maklumat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap sebarang tawaran pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan, khususnya yang melibatkan syarat kerja yang tidak jelas atau ditawarkan melalui saluran tidak rasmi.
Berita berkaitan
June 2, 2026, 4:44 pm
Baki penggal masih panjang, Pulau Pinang tolak PRN serentak dengan PRU-16
June 2, 2026, 3:21 pm
Penunggang motosikal maut terjunam gaung 10 meter di Puncak Gerik
June 2, 2026, 1:51 pm
Kerajaan belanja hampir RM1.9 juta sehari untuk tahanan warga asing
June 2, 2026, 12:39 pm
Pemuda Pas gesa UMNO siasat segera kes senator didakwa tampar cucu Nik Aziz
June 2, 2026, 12:15 pm
