TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penunggang motosikal maut terjunam gaung 10 meter di Puncak Gerik

By
|
Kongsi
image

GERIK 2 Jun – Seorang penunggang motosikal dilaporkan maut selepas kenderaan yang ditunggangnya terbabas lalu terjunam ke dalam sebuah gaung sedalam kira-kira 10 meter dalam satu insiden di Puncak Gerik, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di sini, hari ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Amir Afiq Adnan, berusia 26 tahun dan beralamat dari Bachok, Kelantan. Ketika kejadian, mangsa sedang menunggang sebuah motosikal jenis Kawasaki Z250 sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat impak kemalangan tersebut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan bahawa pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden ngeri itu pada jam 10.09 pagi.

Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, mangsa dipercayai mengalami kemalangan kendiri lalu menyebabkannya terbabas sebelum terjatuh ke dalam kawasan gaung berkenaan.

"Ketua operasi melakukan penilaian awal di lokasi sebelum mengaplikasikan konsep SAVER bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

"Mangsa dibawa naik ke atas jalan menggunakan pengusung melalui laluan longkang bertingkat di lebuh raya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Petugas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia, dan mayatnya kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan serta proses siasatan lanjut.

Operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang digerakkan oleh seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik itu dilaporkan tamat sepenuhnya pada jam 11.58 pagi.

+ - reset