TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Johor tidak jejas Kerajaan Perpaduan, landskap politik kini sudah berubah - Khaled

By
|
Kongsi
image

KOTA TINGGI 2 Jun – Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 tidak akan menjejaskan kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat, meskipun terdapat kemungkinan akan berlaku perbezaan pembentukan kerajaan di peringkat negeri kelak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, situasi itu bersandarkan hakikat bahawa zaman politik dominasi oleh sesebuah parti atau gabungan sudah berakhir, dan landskap negara kini telah memasuki era politik baharu.

“Kerajaan Perpaduan masih ada. Hanya kena terima hakikat, bahawa keadaan sekarang tak sama macam dulu. Dalam politik baru sekarang, tidak mungkin ada mana-mana parti yang akan mendominasi.

“Jadi, mungkin di Pusat kerajaannya begini, mungkin di negeri kerajaannya begini. Dah kita telah lihat di Pusat (parti) Warisan sebagian daripada kerajaan, di negeri Sabah, dia tidak, dia (jadi) pembangkang. Di Johor pula 100 peratus semua kerajaan Barisan Nasional (BN). Di Melaka ada DAP. Jadi di negeri dia boleh pelbagai,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Tinggi dan Menteri Pertahanan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa/Teksi Kota Tinggi di Terminal Bas dan Teksi Kota Tinggi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menyatakan bahawa fokus utama yang perlu diberi perhatian ketika ini adalah kaedah untuk membina serta memupuk satu sikap dalam kalangan rakyat supaya bersedia menerima realiti politik era baharu tersebut. Perkara itu penting memandangkan dinamika politik negara pada masa akan datang sememangnya akan terus bersifat kepelbagaian sedemikian.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN selepas mendapat limpah perkenan daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Sebagai rekod, DUN Johor yang merangkumi 56 kerusi sepatutnya dijadualkan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tiada pembubaran awal dilakukan.

Menerusi keputusan PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, BN telah berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menguasai majoriti dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN. Pakatan Harapan (PH) pula sekadar memperoleh 12 kerusi (DAP 10 kerusi, PKR satu kerusi, Amanah satu kerusi), manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) meraih satu kerusi.

+ - reset