TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemuda Pas gesa UMNO siasat segera kes senator didakwa tampar cucu Nik Aziz

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 Jun – UMNO digesa supaya segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap salah seorang tokoh politik parti itu berhubung dakwaan bertindak menampar cucu bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan bahawa insiden berkenaan membabitkan pemimpin UMNO dan dilaporkan berlaku di dalam premis milik parti itu sendiri.

Menurut beliau, golongan mahasiswa sama sekali tidak sepatutnya dikasari sedemikian rupa, sebaliknya mereka perlu dihormati meskipun mempunyai perbezaan warna bendera politik serta kecenderungan ideologi yang berlainan.

"Pemimpin UMNO tersebut memberikan penjelasan bahawa dia hanya menyentuh pipi Nik Alif Aiman sebagai tanda mesra. Penjelasan ini tidak boleh diterima akal.

"Tidak munasabah seseorang yang baru kali pertama bersua muka tiba-tiba menyentuh pipi sebagai tanda mesra. Kalau bersalaman, itu biasa dan munasabah.

"Nik Alif Aiman diberitakan telah membuat laporan polis mengenai insiden ini. Beliau selaku mangsa rasa terhina dan terjejas maruahnya dengan perbuatan pemimpin UMNO tersebut apatah lagi insiden itu berlaku dikhalayak ramai dalam satu majlis rasmi universiti," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya pada Selasa.

Sebelum ini, mangsa yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi menerusi penjelasan di platform TikTok memaklumkan bahawa insiden itu berlaku ketika menghadiri satu program ceramah anjuran UiTM. Program berkenaan diadakan bertempat di sebuah Institut Latihan milik UMNO yang terletak di Janda Baik, Pahang.

Selesai sahaja sesi bergambar selepas tamat program ceramah tersebut, Nik Alif Aiman bertindak pergi bertegur sapa dengan pemimpin UMNO berkenaan. Sebaik sahaja dimaklumkan bahawa beliau merupakan cucu kepada Almarhum Tok Guru Nik Aziz, berlaku satu dialog ringkas berkaitan hal politik antara kedua-dua mereka.

Rentetan daripada dialog ringkas tersebut, Nik Alif Aiman mendakwa pipi bahagian kirinya telah ditampar oleh pemimpin politik UMNO yang juga berstatus sebagai senator itu.

Susulan kejadian itu, Afnan Hamimi turut mendesak agar pemimpin UMNO terbabit segera tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Nik Alif Aiman serta seluruh ahli keluarganya sebagai tanda menyesali perbuatan agresif tersebut.

"Nik Alif Aiman mempunyai maruah dan bukan barang lelongan di pasar malam yang boleh disentuh apatah lagi ditampar di khalayak ramai," ujarnya lagi.

+ - reset