Berita Berita
Baki penggal masih panjang, Pulau Pinang tolak PRN serentak dengan PRU-16
BUTTERWORTH 2 Jun - Pulau Pinang hampir pasti tidak akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) kerana ia dilihat tidak adil kepada pengundi dan boleh menjejaskan tempoh mandat yang diberikan kepada kerajaan negeri.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, penyelarasan semula jadual pilihan raya di peringkat negeri dan Persekutuan kini sukar dilakukan berikutan perubahan yang telah berlaku dalam kalendar pilihan raya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, pelaksanaan PRN dan PRU secara serentak hanya boleh dilakukan sekiranya mendapat persetujuan bersama daripada semua pihak yang terlibat.
“Sebagai contoh, Pulau Pinang ketika ini masih mempunyai baki kira-kira dua setengah tahun lagi sebelum penggal (pentadbiran) ditamatkan.
“Jadi, tidak adil kepada pengundi jika DUN dibubarkan lebih awal semata-mata untuk menyelaraskan kedua-dua pilihan raya (PRN dan PRU),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Ortopedik Teknologi Perubatan Termaju di Seberang Jaya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan supaya PRN dan PRU diadakan serentak bagi menjimatkan kos, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri di negeri itu dalam masa terdekat.
Kon Yeow berkata, pembubaran DUN secara serentak di seluruh negara juga boleh menimbulkan persoalan mengenai keadilan kepada pengundi di negeri-negeri yang masih mempunyai tempoh pentadbiran yang panjang.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP memaklumkan bahawa jentera parti di Pulau Pinang dijangka digerakkan bagi membantu kempen parti itu pada PRN Johor.
“Seperti biasa, kami akan menggerakkan petugas pilihan raya ke Johor untuk membantu dalam apa jua cara yang diperlukan. Kami juga masih menunggu sama ada terdapat negeri-negeri lain yang akan mengadakan pilihan raya mengejut (selain Johor).
“Jadi, perkara ini akan kami tunggu dan putuskan kemudian,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, pihaknya akan meneliti perkembangan semasa sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan penugasan jentera parti di negeri-negeri lain.
Berita berkaitan
June 2, 2026, 3:21 pm
Penunggang motosikal maut terjunam gaung 10 meter di Puncak Gerik
June 2, 2026, 1:51 pm
Kerajaan belanja hampir RM1.9 juta sehari untuk tahanan warga asing
June 2, 2026, 12:39 pm
Pemuda Pas gesa UMNO siasat segera kes senator didakwa tampar cucu Nik Aziz
June 2, 2026, 12:15 pm
