Berita Berita
'Hak bahasa tidak boleh menjadi mangsa birokrasi' - Sivamalar gesa KPM hapus halangan pelajar ambil bahasa Tamil dalam SPM
KUALA LUMPUR 2 Jun – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mengambil tindakan segera bagi menangani pelbagai halangan pentadbiran yang didakwa terus menyukarkan pelajar mengambil mata pelajaran Bahasa Tamil sebagai subjek elektif dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Sivamalar Genapathy berkata, isu tersebut perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan hak pelajar untuk mempelajari bahasa ibunda mereka serta usaha memelihara warisan bahasa dan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti negara.
Menurut beliau, kebimbangan yang dibangkitkan oleh Sri Murugan Centre (SMC) mengenai kesukaran pelajar mengambil Bahasa Tamil di peringkat SPM tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan campur tangan segera daripada KPM.
“Data sedia ada menunjukkan trend yang membimbangkan apabila seramai 13,688 murid memulakan persekolahan Tahun Satu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pada 2014, namun hanya 7,609 daripada kumpulan yang sama mengambil Bahasa Tamil sebagai subjek elektif ketika menduduki SPM pada 2024.
“Ini menunjukkan penurunan hampir 45 peratus dan ia menimbulkan persoalan mengenai tahap akses kepada pendidikan Bahasa Tamil di sekolah menengah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penurunan ketara itu perlu diteliti secara menyeluruh termasuk dari aspek pelaksanaan dasar di sekolah, prosedur pentadbiran, tahap kesedaran ibu bapa dan pelajar serta sokongan yang diberikan terhadap subjek berkenaan.
Sivamalar turut mengingatkan bahawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pada Julai 2023 telah mengarahkan KPM meneliti semula syarat sedia ada bagi memudahkan akses pelajar kepada pendidikan Bahasa Tamil di sekolah menengah.
Katanya, arahan tersebut merupakan langkah positif yang memberi harapan kepada masyarakat untuk melihat penyelesaian terhadap isu yang telah berlarutan sejak sekian lama.
“Komitmen itu juga selari dengan pelbagai usaha kerajaan untuk memperkasa bahasa Tamil termasuk penubuhan Kerusi Thiruvalluvar di Universiti Malaya pada 2024 yang bertujuan mengangkat pengajian bahasa Tamil, kesusasteraan, penyelidikan serta warisan intelektual Tamil ke peringkat lebih tinggi.
“Ia mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingan bahasa Tamil sebagai sebahagian daripada kepelbagaian budaya dan khazanah ilmu negara,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata laporan mengenai kerenah birokrasi dan halangan pentadbiran masih terus kedengaran walaupun pelbagai komitmen telah diumumkan.
Sebagai contoh, katanya, masyarakat sebelum ini dikejutkan dengan kes membabitkan empat pelajar di Bangi yang pada mulanya tidak dibenarkan mendaftar untuk mengambil Bahasa Tamil dalam SPM sebelum keputusan itu dibatalkan selepas mendapat perhatian umum dan campur tangan pelbagai pihak.
“Insiden seperti ini sepatutnya tidak lagi berlaku. Pelajar tidak seharusnya berdepan prosedur yang rumit, tafsiran peraturan yang tidak konsisten atau halangan pentadbiran hanya kerana ingin mempelajari dan menduduki peperiksaan bagi subjek bahasa yang diiktiraf.
“Hak pendidikan dan hak bahasa tidak boleh menjadi mangsa birokrasi,” tegasnya.
Sehubungan itu, Sivamalar menggesa KPM menjalankan semakan menyeluruh terhadap sistem sedia ada bagi mengenal pasti punca sebenar penurunan jumlah calon Bahasa Tamil serta melaksanakan dasar yang jelas dan seragam di seluruh negara.
Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan semua pelajar yang layak dapat mengakses pendidikan dan peperiksaan Bahasa Tamil tanpa berdepan sebarang halangan yang tidak munasabah.
“Masa depan pendidikan Bahasa Tamil tidak boleh terus bergantung kepada campur tangan ad hoc setiap kali timbul sesuatu isu. Apa yang diperlukan ialah penyelesaian yang mampan, telus dan berpaksikan kepentingan pelajar.
“Kementerian perlu bertindak tegas dan segera bagi memastikan setiap pelajar yang ingin mempelajari serta mengambil peperiksaan Bahasa Tamil dalam SPM diberikan peluang yang adil dan sewajarnya,” tegasnya lagi.
Berita berkaitan
June 2, 2026, 4:44 pm
Baki penggal masih panjang, Pulau Pinang tolak PRN serentak dengan PRU-16
June 2, 2026, 3:21 pm
Penunggang motosikal maut terjunam gaung 10 meter di Puncak Gerik
June 2, 2026, 1:51 pm
Kerajaan belanja hampir RM1.9 juta sehari untuk tahanan warga asing
June 2, 2026, 12:39 pm
Pemuda Pas gesa UMNO siasat segera kes senator didakwa tampar cucu Nik Aziz
June 2, 2026, 12:15 pm
