TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guan Eng mahu pinjaman khas RM150 juta untuk kaum Cina, India dipindah ke BSN tanpa syarat patuh Syariah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 Jun - Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa kerajaan menyalurkan kemudahan pinjaman berjumlah RM150 juta yang diperuntukkan kepada usahawan masyarakat Cina dan India melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi memastikan akses pembiayaan yang lebih menyeluruh tanpa syarat pematuhan Syariah.

Menurut beliau, keputusan menempatkan pinjaman khas RM100 juta untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) milik masyarakat Cina di bawah SME Bank serta pinjaman RM50 juta Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional yang memerlukan aktiviti perniagaan mematuhi prinsip Syariah telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sebahagian pengusaha bukan Islam.

Katanya, syarat tersebut menyebabkan sesetengah perniagaan milik masyarakat Cina yang tidak beroperasi mengikut prinsip Syariah seperti sektor makanan dan minuman tertentu, kedai ubat tradisional Cina serta industri hiburan tidak dapat memanfaatkan kemudahan pinjaman berkenaan.

"Pinjaman RM50 juta SPUMI untuk syarikat milik penuh masyarakat India juga mensyaratkan aktiviti perniagaan mematuhi prinsip Syariah. Tiada masalah untuk pinjaman RM1 bilion TEKUN yang diperuntukkan kepada usahawan Melayu mematuhi syarat tersebut.

"Dalam erti kata lain, syarikat milik masyarakat Cina dan India juga perlu mematuhi prinsip Syariah walaupun majoriti mereka bukan beragama Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, dakwaan bahawa kemudahan pembiayaan tersebut membuktikan keperluan semua komuniti dilayan secara adil adalah tidak tepat kerana pinjaman yang dikhususkan kepada masyarakat Cina dan India masih tertakluk kepada syarat tambahan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pihak yang bertanggungjawab merangka dasar berkenaan mengambil kira hakikat bahawa kebanyakan masyarakat Cina dan India di negara ini bukan beragama Islam.

Menurutnya, masyarakat Cina memiliki sebahagian besar daripada kira-kira 1.1 juta PMKS di Malaysia dan sekatan yang dikenakan SME Bank serta Bank Rakyat akan menjejaskan peluang pembiayaan bagi banyak syarikat yang tidak memenuhi kriteria pematuhan Syariah.

Lim berkata, di bawah program pembiayaan Success SME Bank, syarikat boleh memohon pembiayaan antara RM100,000 hingga RM3 juta dengan kadar serendah 3.5 peratus setahun, manakala skim BR Prosper-i Bank Rakyat menawarkan pembiayaan antara RM1,000 hingga RM1 juta dengan kadar bermula 4.5 peratus setahun.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa hak TEKUN Nasional, SME Bank dan Bank Rakyat untuk menjalankan urus niaga dalam sektor yang mematuhi prinsip Syariah perlu dihormati.

Bagaimanapun, katanya, bagi memastikan semua PMKS mendapat akses pembiayaan yang sama rata, pinjaman RM100 juta untuk PMKS milik masyarakat Cina dan pinjaman RM50 juta SPUMI untuk masyarakat India wajar diletakkan di bawah BSN.

"BSN tidak mengenakan syarat pematuhan Syariah kepada pelanggan, sebaliknya memberi pilihan sama ada menggunakan perkhidmatan perbankan Islam atau konvensional.

"Selain itu, BSN mempunyai 387 cawangan di seluruh negara berbanding hanya 17 cawangan SME Bank dan 148 cawangan Bank Rakyat, sekali gus membolehkan capaian yang lebih luas termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya.

+ - reset