TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan belanja hampir RM1.9 juta sehari untuk tahanan warga asing

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 2 Jun – Kerajaan membelanjakan kira-kira RM1.87 juta setiap hari bagi menampung kos pengurusan dan kebajikan lebih 20,000 warga asing yang kini ditempatkan di depot tahanan imigresen di seluruh negara.

Berdasarkan anggaran kos RM90 sehari bagi setiap tahanan, perbelanjaan tersebut melibatkan seramai 20,775 warga asing yang berada dalam tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) setakat 31 Mac 2026.

Data JIM menunjukkan jumlah tahanan warga asing mencatatkan peningkatan berterusan sejak tiga tahun kebelakangan ini. Pada 2023, seramai 12,092 individu direkodkan ditahan sebelum jumlah itu meningkat kepada 15,917 pada 2024 dan 18,961 pada 2025.

Daripada keseluruhan tahanan ketika ini, seramai 16,642 adalah lelaki manakala 4,133 lagi wanita.

Kos RM90 sehari bagi setiap tahanan dipercayai meliputi perbelanjaan makanan, rawatan kesihatan, keselamatan, utiliti, logistik serta pengurusan depot tahanan imigresen di seluruh negara.

Peningkatan jumlah tahanan itu dikaitkan dengan operasi penguatkuasaan berterusan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk serbuan di kawasan penempatan haram, tapak pembinaan, premis perniagaan dan ladang di beberapa negeri.

Keadaan tersebut turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat mengenai beban kewangan yang perlu ditanggung kerajaan, memandangkan kos keseluruhan boleh mencecah puluhan juta ringgit setiap bulan.

Dalam masa sama, pihak berkuasa terus mempergiat usaha penghantaran pulang tahanan ke negara asal menerusi kerjasama diplomatik dengan kedutaan dan kerajaan negara terlibat bagi mengurangkan kesesakan di depot imigresen.

JIM sebelum ini menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara agresif bagi membanteras kebanjiran PATI serta mengambil tindakan terhadap majikan yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah.

+ - reset