TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anthony Loke arah siasat segera kemalangan ragut lima nyawa di Simpang Renggam, pemandu perlu diheret ke muka keadilan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 2 Jun – Polis digesa mempercepatkan siasatan berhubung nahas ngeri yang mengorbankan lima nyawa di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang, Johor pada Isnin bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan segera itu penting supaya kertas siasatan dapat dirujuk tanpa kelewatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Tindakan pendakwaan yang setimpal perlu diambil terhadap pemandu yang menyebabkan kemalangan ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau menyifatkan tragedi tersebut tidak sepatutnya berlaku dan menegaskan pemanduan berbahaya tidak boleh diterima.

“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan tidak boleh dipandang ringan.

“Lesen memandu bukan kebenaran untuk memandu secara melulu sehingga membahayakan nyawa orang lain,” katanya.

Loke turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, seorang lelaki berusia 19 tahun dipercayai memandu sebuah Mercedes-Benz A250 pada kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Kenderaan berkenaan kemudian merempuh beberapa kenderaan lain dalam kemalangan yang melibatkan lima buah kenderaan.

Nahas itu mengorbankan lima individu termasuk empat sekeluarga yang menaiki sebuah Toyota Vios.

Beberapa mangsa lain turut dilaporkan cedera dan sedang menerima rawatan di hospital.

+ - reset