TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Juruterbang Air Canada didakwa guna lesen palsu selama 17 tahun, kendali lebih 900 penerbangan

By
|
Kongsi
image

 

OTTAWA 10 Jun – Seorang juruterbang syarikat penerbangan Air Canada didakwa di mahkamah selepas disyaki menggunakan lesen palsu selama kira-kira 17 tahun bagi membolehkannya mengendalikan ratusan penerbangan sebagai kapten pesawat komersial.

Menurut Polis Wilayah Peel, Geoffrey Wall, 59, didakwa menerbangkan pesawat penumpang sebagai kapten antara 2009 hingga 2025 tanpa memiliki lesen juruterbang pengangkutan syarikat penerbangan yang diwajibkan bagi mengendalikan pesawat komersial bersaiz besar.

Siasatan mendapati Wall dipercayai mengendalikan lebih 900 penerbangan domestik dan antarabangsa sepanjang tempoh berkenaan.

Air Canada dalam kenyataannya mengesahkan Wall memiliki lesen juruterbang komersial yang sah, namun didakwa menggunakan lesen juruterbang pengangkutan syarikat penerbangan palsu untuk melayakkan dirinya dinaikkan pangkat sebagai kapten.

Portal ABC News melaporkan, lesen palsu itu digunakan sebagai bukti kelayakan bagi membolehkan beliau menerbangkan pesawat komersial.

Mengulas kes tersebut, Timbalan Ketua Polis Wilayah Peel, Nick Milinovich menyifatkan tindakan berkenaan sebagai pelanggaran serius terhadap piawaian keselamatan penerbangan.

“Keperluan pelesenan wujud atas sebab tertentu. Ia diwujudkan bagi memastikan keselamatan orang ramai,” katanya.

Beliau mengibaratkan situasi itu seperti seorang doktor yang hanya mempunyai lesen perubatan am tetapi bertugas melakukan pembedahan otak di hospital.

Kes itu terbongkar menerusi siasatan dikenali sebagai Projek Icarus yang dilancarkan selepas pemeriksaan pensijilan secara rawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson, Toronto tahun lalu menemukan beberapa kejanggalan dalam dokumen berkaitan.

Menurut penyiasat, penemuan awal itu mendorong siasatan lanjut sehingga membawa kepada penahanan Wall.

Dalam pada itu, Air Canada menegaskan keselamatan penerbangan tidak pernah dikompromi kerana semua juruterbang syarikat tersebut diwajibkan menjalani latihan berkala dan penilaian kompetensi secara berterusan.

“Aspek keselamatan tidak boleh dikompromi dalam insiden ini kerana semua juruterbang Air Canada menjalani latihan berulang mandatori setiap enam bulan untuk mengesahkan kecekapan penerbangan mereka.

“Mereka juga perlu menjalani pemeriksaan penerbangan dengan juruterbang pemeriksa Transport Canada yang diperakui setiap 12 bulan,” menurut syarikat itu.

Bagaimanapun, Air Canada mengakui pemilikan lesen yang sah merupakan komponen penting dalam sistem keselamatan berlapis industri penerbangan dan memandang serius dakwaan berkenaan.

Wall kini berdepan beberapa pertuduhan termasuk penipuan, pemalsuan dokumen awam dan kesalahan berkaitan lain.

Prosiding lanjut kes tersebut dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan ini.

+ - reset