TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Budak empat tahun maut selepas rebah di taman tema air di Sungai Buloh

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 Jun – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia di sebuah taman tema air di Sungai Buloh, Ahad lalu, dipercayai rebah selepas keluar dari kawasan kolam sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada hari sama.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai rebah selepas keluar dari kawasan kolam sebelum berada dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri.

"Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan pihak polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil memberi kerjasama dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhamad Zul Irfan Omar di talian 017-5393648 atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian ini sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya.

Insiden berkenaan turut menjadi tular di media sosial apabila beberapa pengguna berkongsi pengalaman mereka berada di taman tema air tersebut ketika kejadian berlaku.

Malah, beberapa gambar yang dimuat naik di media sosial memaparkan usaha bantuan kecemasan yang diberikan kepada mangsa sebelum ketibaan ambulans.

Seorang pengguna aplikasi Threads mendakwa melihat mangsa rebah dan tidak sedarkan diri, manakala kakitangan taman tema air terbabit dikatakan segera melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sementara menunggu pasukan perubatan tiba di lokasi.

+ - reset