TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pengarah, bekas pengarah agensi kerajaan antara 13 direman kes rasuah babit lantikan terus kontraktor bernilai RM2.5 Juta

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 Jun – Seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di utara tanah air antara 13 individu yang direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam kegiatan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM2.5 juta daripada kontraktor.

Kesemua suspek dipercayai menerima suapan sebagai dorongan melantik syarikat kontraktor yang dikawal oleh ejen kartel bagi memonopoli kerja-kerja lantikan terus dan sebut harga melibatkan agensi berkenaan.

Menurut Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, kesemua suspek terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 60-an yang ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak, kelmarin.

Katanya, tiga suspek yang terdiri daripada dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat direman selama dua hari bermula semalam hingga hari ini.

“Selain itu, 10 lagi suspek direman selama lima hari bermula semalam hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Anis Hanini Abdullah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.

Menurut BKS SPRM, siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2026.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2026.

“Kontraktor yang ditahan mengesahkan mereka perlu membayar rasuah antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah untuk diberikan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan tersebut,” katanya.

Sementara itu, BKS SPRM memaklumkan Bahagian Siasatan SPRM turut melaksanakan operasi dikenali sebagai Op Drain di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak.

Menurutnya, sebanyak 25 lokasi membabitkan kediaman, premis pejabat dan agensi kerajaan telah digeledah dalam operasi berkenaan.

“SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM1.5 juta, sebuah jam tangan mewah, dua kenderaan, sebuah motosikal berkuasa tinggi serta barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

+ - reset