Berita Berita
Umat Islam diseru perkukuh perpaduan, tinggalkan permusuhan demi kesejahteraan negara
PUTRAJAYA 17 Jun – Umat Islam diseru memperkukuhkan perpaduan dengan merapatkan saf, meninggalkan segala bentuk permusuhan serta memberi tumpuan kepada perkara yang mampu menyatukan ummah demi memastikan negara lebih bersedia menghadapi pelbagai cabaran semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, semangat hijrah yang diraikan saban tahun perlu diterjemahkan melalui usaha memperbaiki hubungan sesama umat Islam dan mengelakkan perselisihan yang boleh melemahkan kekuatan ummah.
"Marilah kita merapatkan saf sesama kita, memadamkan segala bara serta api permusuhan yang masih mendekam dalam sanubari, dan menumpukan perkara yang menyatukan kita sebagai umat Islam.
"Hanya apabila aspek perpaduan umat ini berjaya dipertingkat, barulah agenda memartabatkan syiar Islam itu mampu digerakkan dengan lebih berkesan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026 di Masjid Putra, hari ini.
Menurut beliau, tafsiran ulama turut menjelaskan bahawa kesatuan masyarakat akan membawa rahmat kepada seluruh anggotanya, manakala perpecahan hanya mengundang kelemahan serta pelbagai musibah.
Sehubungan itu, beliau berharap perpaduan umat Islam terus diperkasakan kerana ia merupakan asas penting dalam memartabatkan syiar Islam dan melaksanakan agenda pembangunan ummah secara lebih berkesan.
"Begitu juga apabila berbicara soal umat, sudah tentu kita tidak boleh terlepas daripada membicarakan juga konsep umat sebagaimana yang dibahaskan oleh ulama, yang terbahagi kepada ummah 'aqdiyyah, iaitu umat Islam yang berkongsi akidah sama.
"Satu lagi kategori ialah ummah siyasiyyah, iaitu saudara-mara setanah air kita daripada kalangan bukan Islam, yang berbeza akidah dan pegangannya, namun berkongsi dengan kita komitmen serta tanggungjawab untuk memelihara keamanan, kestabilan dan kemakmuran tanah air," katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama agar terus memelihara semangat kebersamaan serta bekerjasama dalam menjaga keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara.
Menurutnya, seruan itu amat signifikan ketika negara berdepan pelbagai cabaran global termasuk tekanan ekonomi dan krisis tenaga yang memerlukan kesatuan hati serta kerjasama semua pihak bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.
"Menginsafi takdir kepelbagaian yang melatari demografi negara kita, suka atau tidak, Malaysia ialah sebuah negara majmuk.
"Justeru, sudah tentu Sahifah Madinah yang digagaskan oleh Rasulullah SAW selepas peristiwa hijrah, merupakan contoh agung pembinaan sebuah masyarakat terdiri daripada pelbagai kabilah dan agama.
"Ia dihimpun dalam satu kesatuan yang berteraskan keadilan, tanggungjawab bersama dan kesetiaan kepada negara.
"Dalam konteks Malaysia, semangat ini diistilahkan sebagai kepelbagaian dalam bingkai kesatuan atau al-wihdah fi itar al-tanawwu' yang memandu dan memacu hubungan antara kaum dan agama," katanya.
Berita berkaitan
June 19, 2026, 3:15 pm
Masjid Bukit Bintang bakal tampung 1,500 jemaah, dijangka siap awal tahun depan
June 19, 2026, 2:42 pm
Warga Selangor nikmati rebat cukai taksiran 100 peratus jika pasang teknologi hijau
June 19, 2026, 2:32 pm
KPDN jamin bekalan barangan asas mencukupi menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
June 19, 2026, 1:52 pm
Pelajar perempuan tingkatan empat maut terjatuh dari tingkat tiga sekolah di Sendayan
June 19, 2026, 1:41 pm
Hannah Yeoh tegur PBT, jangan tunggu dah ‘viral’ baru nak baiki kemudahan
June 19, 2026, 1:20 pm
DBKL peruntuk RM200 juta naik taraf 287 lokasi penjaja di Kuala Lumpur - Hannah Yeoh
June 19, 2026, 1:07 pm
