TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Fitnah Tok Batin sorok Jaslinda; Polis teruskan siasatan walau suspek sudah minta maaf

By
|
Kongsi
image

IPOH 11 Jun – Pihak polis mengesahkan akan meneruskan siasatan terhadap seorang lelaki yang didakwa memuat naik kandungan berunsur fitnah melibatkan Tok Batin Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu dan seorang pendaki wanita, Jaslinda Saludin, biarpun individu terbabit telah membuat permohonan maaf secara terbuka.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, tindakan undang-undang itu diteruskan susulan 11 laporan polis yang diterima daripada pelbagai pihak, termasuk daripada sekumpulan Tok Batin yang tidak berpuas hati dengan penyebaran maklumat palsu berkenaan.

Siasatan rasmi akan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

"Kita akan ambil keterangan lelaki berkenaan dalam masa terdekat selain mendapatkan pengesahan rasmi dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung beberapa perkara termasuk isi kandungan video terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, lelaki berkenaan telah memuat naik satu rakaman video permohonan maaf selepas sesi siaran langsung (live) di platform TikTok miliknya mencetuskan kontroversi dan kemarahan ramai.

Dalam sesi live sebelum itu, individu terbabit secara terbuka mendakwa kononnya Jaslinda telah 'disimpan' oleh Tok Batin, Mohd Asmmadi, selama dua minggu. Dia turut mendakwa jika kes kehilangan wanita itu tidak tular, Mohd Asmmadi berkemungkinan besar akan mengahwini mangsa.

Terdahulu, Jaslinda, 49, dilaporkan hilang selama 14 hari sejak 24 Mei lalu ketika melakukan aktiviti pendakian di kawasan pergunungan berhampiran sebelum ditemui selamat oleh penduduk Kampung Lubuk pada Sabtu lalu.

+ - reset