TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Didakwa cetus provokasi, KP J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 11 Jun – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali hari ini membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, atas dakwaan mengganggu ketenteraman dan mengeluarkan tuduhan tidak berasas terhadap Kementerian Komunikasi.

Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya itu menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Mohd Hisyamuddin menegaskan, tindakan Tei hadir ke premis kerajaan dengan tujuan mencetuskan provokasi, mengganggu urusan rasmi, serta menimbulkan keresahan dalam kalangan penjawat awam adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan.

"Premis kerajaan adalah tempat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan perlu dihormati serta dipelihara daripada sebarang bentuk gangguan yang boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran awam," katanya pada sidang media selepas membuat laporan berkenaan.

Menurut beliau, laporan polis tersebut dibuat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk:

  • Seksyen 186 Kanun Keseksaan (Menghalang tugas penjawat awam)

  • Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Sengaja mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan)

  • Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Penyalahgunaan rangkaian untuk tujuan gangguan)

  • Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Kelakuan menghina)

Sebelum ini, Albert Tei bersama beberapa individu dilaporkan beberapa kali mengadakan protes dan perhimpunan di pekarangan Kementerian Komunikasi bagi membantah dakwaan sekatan terhadap akaun media sosial miliknya. Tei turut mendakwa wujud campur tangan kementerian dalam isu sekatan tersebut, sekali gus mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi kerajaan.

Suasana sidang media hari ini turut bertukar kecoh seketika apabila Tei bersama kumpulannya muncul secara tiba-tiba dan cuba mengajukan soalan bagi mempersoalkan bentuk gangguan yang didakwa dilakukan oleh mereka.

Bagaimanapun, Mohd Hisyamuddin enggan melayan provokasi tersebut dan sebaliknya mencabar ahli perniagaan itu untuk berdebat secara terbuka.

"Saya akan sediakan pentas, kita dua berdebat. Soalan itu awak simpan, kita debat berdua," tegas beliau sebelum mengakhiri sidang media.

+ - reset