TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kadar tambang ECRL yang tular sekadar spekulasi, harga rasmi belum dimuktamadkan - MRL

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Jun – Kadar tambang bagi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih belum diumumkan secara rasmi sehingga kini, dan sebarang struktur harga yang tular di platform media sosial baru-baru ini adalah sekadar spekulasi semata-mata.

Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) menegaskan bahawa hantaran yang tersebar luas itu sama sekali tidak mewakili kadar sebenar yang bakal dikenakan apabila projek mega tersebut mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027 kelak.

MRL menerusi satu kenyataan menjelaskan, struktur kadar tambang ECRL pada masa ini sedang diperhalusi secara teliti bersama-sama pihak berkepentingan, termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Langkah itu bagi memastikan kadar yang ditetapkan kelak kekal berpatutan, kompetitif, serta mesra pengguna, selaras dengan matlamat menyediakan pengangkutan awam berkualiti kepada rakyat.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan.

“Kadar tambang rasmi akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia setelah proses penilaian dan kelulusan dimuktamadkan,” menurut kenyataan syarikat itu hari ini.

Dalam pada itu, MRL turut menzahirkan penghargaan terhadap keterujaan yang ditunjukkan oleh orang ramai yang tidak sabar menantikan perkhidmatan rel berkenaan. Bagaimanapun, semua pihak diminta untuk bersabar dan menunggu pengumuman rasmi yang hanya akan dikeluarkan melalui saluran komunikasi rasmi ECRL, MRL, serta Kementerian Pengangkutan.

“Insya-Allah, kadar tambang yang ditetapkan nanti akan mengambil kira kepentingan rakyat serta memberikan nilai terbaik kepada pengguna,” tambah MRL.

Projek jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer ini akan merentasi tiga negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu, dan Pahang, sebelum dihubungkan terus ke Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Apabila siap dan beroperasi kelak, rangkaian rel ini bakal memendekkan masa perjalanan secara drastik, di mana perjalanan dari Kota Bharu ke Gombak dijangka hanya mengambil masa selama empat jam, berbanding sekitar tujuh jam jika menggunakan mod pengangkutan jalan raya biasa.

+ - reset