TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tidak terima tak bermaksud tidak berperikemanusiaan' - Sarawak kekal tolak Rohingya, keputusan 2017 tepat

By
|
Kongsi
image

 

KUCHING 17 Jun – Keputusan Sarawak untuk tidak menerima penempatan pelarian Rohingya sejak 2017 disifatkan sebagai langkah yang tepat berdasarkan perkembangan semasa yang menyaksikan pelbagai isu sosial timbul akibat pengurusan pelarian yang tidak teratur di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan negeri tetap bersimpati terhadap nasib etnik Rohingya yang terpaksa meninggalkan Myanmar akibat penindasan dan konflik yang berlaku di negara itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pendirian Sarawak untuk tidak menerima pelarian berkenaan merupakan keputusan yang wajar demi menjaga kepentingan negeri dan rakyat tempatan.

Menurutnya, Malaysia khususnya negeri-negeri di Semenanjung menjadi antara destinasi utama pelarian Rohingya berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan Thailand dan Myanmar, sekali gus memudahkan kemasukan mereka melalui laluan darat dan laut.

Beliau berpandangan pengurusan pelarian di negara ini tidak dilaksanakan secara cukup teratur sehingga menyebabkan kehadiran mereka semakin ketara di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Terengganu.

Katanya, keadaan itu akhirnya menimbulkan pelbagai isu sosial yang sepatutnya dapat ditangani sekiranya sistem pentadbiran dan pengurusan pelarian dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.

“Pada tahun 2017 kita tidak mengalu-alukan mereka datang ke Sarawak, tetapi itu tidak bermakna kita tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Abdul Karim berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira kewarganegaraan, termasuk warga asing yang berada di Sarawak ketika pandemik COVID-19 dan tidak dapat pulang ke negara asal susulan penutupan sempadan.

Menurut beliau, pendekatan berperikemanusiaan itu akan terus diamalkan, namun sebarang keputusan untuk menerima pelarian dari luar negara perlu disertai dengan sistem pengurusan yang jelas serta berkesan.

Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan menguruskan pelarian secara sistematik boleh menyebabkan mereka menetap dalam tempoh yang panjang, membina penempatan sendiri serta menguasai sebahagian aktiviti ekonomi sehingga menjejaskan peluang penduduk tempatan.

Selain itu, katanya, peningkatan masalah sosial juga boleh berlaku sekiranya kemasukan dan penempatan pelarian tidak dikawal serta dipantau dengan baik oleh pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan memastikan sebarang dasar berkaitan penerimaan pelarian dilaksanakan secara teratur bagi mengimbangi tuntutan kemanusiaan dan kepentingan rakyat tempatan.

+ - reset