TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

RTM mohon maaf siaran Perancis-Senegal di RTMKlik terganggu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Jun – Radio Televisyen Malaysia (RTM) memohon maaf kepada seluruh peminat sukan bola sepak tanah air berhubung gangguan teknikal yang berlaku pada platform RTMKlik, awal pagi tadi.

Gangguan tersebut dilaporkan berlaku ketika siaran langsung separuh masa pertama perlawanan membabitkan pasukan Perancis dan Senegal pada pukul 3 pagi.

Menurut RTM dalam satu kenyataan hari ini, masalah teknikal luar jangka itu telah menyebabkan sebahagian pengguna mengalami kesukaran untuk mengakses siaran berkenaan secara lancar.

“Pasukan teknikal RTM bersama pihak penyedia teknologi telah mengambil tindakan segera bagi memulihkan perkhidmatan tersebut dengan kadar segera.

“RTM amat memahami kekecewaan para peminat sukan bola sepak yang menantikan perlawanan tersebut,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, sebagai penyiar rasmi kejohanan berprestij tersebut, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan pengalaman tontonan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia.

Langkah-langkah pengukuhan infrastruktur dan sistem penyiaran digital turut dijalankan setiap masa bagi mengurangkan risiko gangguan teknikal daripada berulang kembali.

“RTM sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan akan terus berusaha memastikan kelancaran siaran kesemua 104 perlawanan termasuk 94 siaran langsung dan 10 siaran tertunda bagi Piala Dunia FIFA 2026,” ujarnya. 

+ - reset