TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pekerja maut dipercayai tersedut dalam tangki air ketika kerja penyelenggaraan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 Jun – Seorang pekerja maut selepas dipercayai tersedut ke dalam sebuah tangki air ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana Perdana, Jalan Saujana Perdana 18, Bandar Saujana Perdana, semalam.

Dalam kejadian lewat pagi itu, mangsa yang berusia 24 tahun dilaporkan sedang melakukan kerja penyelenggaraan di tangki berkenaan sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pegawai Bomba Kanan II Kamilhafidzam Mat Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.51 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, operasi itu membabitkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama lima anggota.

“Jentera tiba di lokasi pada jam 12.17 tengah hari dan mendapati seorang lelaki berusia 24 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki kolam menara ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Berdasarkan maklumat awal daripada pemanggil, mangsa dipercayai tersedut dan lemas di dalam tangki air berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba kemudiannya menjalankan operasi mengangkat dan menurunkan mangsa dari tangki tersebut bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dilakukan.

“Anggota bomba kemudian menjalankan kerja-kerja mengangkat dan menurunkan lelaki dari tangki berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes berkenaan kini dalam siasatan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

+ - reset