TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Biasalah insan yang lemah banyak kekurangan' - Lelaki tengking isteri, bawa anak depan tempat kerja mohon maaf, janji ubah sikap

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 Jun – Lelaki yang tular di media sosial selepas didakwa menengking isterinya di hadapan sebuah restoran makanan segera berhampiran Lapangan Terbang Senai tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan insiden berkenaan yang mengundang kecaman netizen.

Lelaki dikenali sebagai Mohd Hakeem itu mengakui kesilapannya menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik di Facebook dan berjanji untuk memperbaiki sikap pada masa hadapan.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ketika dia mahu pergi bekerja manakala isterinya pula berhasrat untuk meneruskan kerja lebih masa (OT).

“Assalamualaikum kepada semua orang nak tahu cerita sebenar, aku nak pergi kerja, bini pula nak sambung OT. Itu yang aku marah,” katanya menerusi satu hantaran.

Dalam pada itu, Mohd Hakeem turut memohon maaf kepada semua pihak yang berasa terganggu dengan tindakannya itu.

“Maaf ya kalau dah buat anda semua terganggu. Biasalah insan yang lemah banyak kekurangan,” ujarnya.

Menerusi satu lagi hantaran, beliau sekali lagi memohon maaf dan menyatakan kesediaannya untuk berubah ke arah yang lebih baik.

“Sekali lagi saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam hidup saya. Insya-Allah saya akan ubah sikap saya yang tak baik.

“Saya doakan semoga semua yang terlibat dalam hidup saya diberi kebahagiaan dunia dan akhirat. Insan yang penuh dengan kekurangan,” katanya.

Mohd Hakeem turut memuat naik hantaran berasingan yang menyatakan kesediaannya untuk berjumpa dengan mana-mana individu yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.

Terdahulu, satu hantaran tular di aplikasi Threads apabila seorang pengguna mendakwa menyaksikan seorang lelaki menengking isterinya yang sedang bekerja sambil mendukung anak kecil di hadapan sebuah restoran makanan segera di Senai.

Perkongsian itu kemudiannya mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang meluahkan rasa simpati terhadap wanita berkenaan serta menggesa agar semua pihak mengamalkan sikap saling menghormati dalam institusi kekeluargaan.

+ - reset