Berita Berita
TDM henti serta-merta latihan baling grenad susulan insiden korban dua anggota
KUALA LUMPUR 17 Jun – Tentera Darat Malaysia (TDM) menghentikan serta-merta pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) susulan insiden letupan yang mengorbankan dua anggotanya di Kem Hobart, Gurun, semalam.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman berkata, arahan pemberhentian itu melibatkan semua cabang perkhidmatan dalam TDM bagi memberi ruang kepada siasatan menyeluruh berhubung kejadian tersebut.
“Siasatan ini akan dikendalikan oleh pegawai bertauliah dari Lembaga Siasatan termasuk Unit Bahagian Letupan dan Bom. Ia dijangka mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan.
“Sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak berkenaan demi menjamin keselamatan warga TDM dan keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara amnya,” katanya kepada BH hari ini.
Menurut beliau, punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan sedang dikenal pasti oleh Lembaga Siasatan yang telah ditubuhkan.
“Pada masa ini, punca kejadian sedang di kenal pasti oleh Lembaga Siasatan yang telah ditubuhkan. Setelah itu tindakan susulan akan diambil berdasarkan hasil penemuan siasatan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Azhan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota yang terkorban dalam insiden berkenaan iaitu Koperal Norazmi Abu Bakar dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) dan Siti Khadijah Sungip dari Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (1 RAJD).
“Bantuan sepenuhnya diberikan kepada keluarga termasuklah pampasan yang layak diterima,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata perincian mengenai bantuan dan pampasan yang akan diberikan tidak dapat didedahkan kerana ia membabitkan maklumat sulit.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.57 pagi semalam, kedua-dua anggota terbabit mengalami kecederaan parah akibat letupan ketika latihan sebelum disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk menerima rawatan.
Berita berkaitan
June 17, 2026, 7:59 pm
Harga diesel turun 30 sen kepada RM4.37 seliter mulai esok
June 17, 2026, 7:46 pm
Pekerja maut dipercayai tersedut dalam tangki air ketika kerja penyelenggaraan
June 17, 2026, 5:50 pm
RTM mohon maaf siaran Perancis-Senegal di RTMKlik terganggu
June 17, 2026, 1:27 pm
Budak empat tahun maut selepas rebah di taman tema air di Sungai Buloh
June 17, 2026, 1:10 pm
Rektor UIAM dinobat Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448H/2026
June 17, 2026, 1:05 pm
