TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

18 pelajar terbaik STPM 2025 terima biasiswa universiti awam - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

SELAYANG 18 Jun– Seramai 18 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 bakal menerima biasiswa pengajian ijazah daripada universiti awam sebagai penghargaan terhadap pencapaian cemerlang mereka.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh ekosistem Tingkatan Enam, selain membantu pelajar meneruskan pengajian pada peringkat lebih tinggi.

“Hari ini satu lagi inisiatif baharu yang kita umumkan ialah pemberian biasiswa kepada 18 pelajar terbaik STPM oleh universiti-universiti awam.

“Bermula tahun ini bagi Kohort STPM 2025, setiap universiti awam akan menawarkan biasiswa pengajian ijazah sarjana muda kepada pelajar terbaik STPM,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, Malaysian University English Test (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warga Asing (SKBMW) Tahun 2025 .

Menurutnya, pencapaian STPM 2025 menunjukkan peningkatan apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat daripada 2.85 kepada 2.88.

Beliau berkata, peningkatan itu membuktikan Tingkatan Enam berpotensi menjadi antara laluan pendidikan prauniversiti utama dalam negara, selain program asasi dan matrikulasi.

Dalam sidang media selepas majlis berkenaan, beliau memaklumkan bahawa keputusan kerajaan untuk menyerahkan pengurusan Tingkatan Enam dan matrikulasi kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dijangka membantu menyusun serta memperkukuh pengurusan pendidikan prauniversiti negara.

Bagaimanapun katanya, sementara proses berkenaan diselesaikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kebajikan dan pembelajaran pelajar Tingkatan Enam tidak terjejas.

“Daripada awal kita melihat Tingkatan Enam ini mempunyai potensi tinggi untuk melonjakkan mutu pendidikan negara.

“Kita bukan sahaja memperluas Kolej Tingkatan Enam, malah menyediakan bantuan persekolahan, program pengukuhan serta intervensi bagi mengenal pasti pelajar yang memerlukan sokongan,” katanya. 

Antara usaha yang dilaksanakan ialah pembukaan Kolej Tingkatan Enam Alor Setar dan Kolej Tingkatan Enam Gombak, sekali gus meningkatkan jumlah kolej berkenaan daripada 27 kepada 29 buah di seluruh negara.

Ekosistem Tingkatan Enam ketika ini turut melibatkan 99 sekolah Mod 2 dan 502 sekolah Mod 3, sekali gus memperluas akses pendidikan prauniversiti kepada lebih ramai pelajar.

Sehingga 15 Jun lalu, pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara menerima Baucar Buku membabitkan peruntukan keseluruhan RM9.23 juta.

Daripada 29 Kolej Tingkatan Enam pula, sebanyak 18 kolej sudah menerima kemudahan papan pintar atau 'Smart Board' bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran digital abad ke-21.

Dalam aspek kepimpinan, KPM menyediakan peruntukan RM50,000 kepada Jawatankuasa Perwakilan Tingkatan Enam bagi melaksanakan program serta aktiviti kepimpinan di peringkat kebangsaan.

Kementerian turut merancang penganjuran Kongres Prauniversiti Kebangsaan pada Ogos, diikuti pemilihan kepimpinan perwakilan Tingkatan Enam pada Oktober.

Selain itu, Karnival Kokurikulum dan Pidato Piala Diraja Tingkatan Enam akan diadakan pada Oktober 2026 bagi mengasah kebolehan pelajar berhujah, menyampaikan pandangan serta mengetengahkan idea.

Beliau turut berkata, MPM melaksanakan pelbagai bentuk intervensi bagi membantu pelajar memperbaiki keputusan semester dan mengelakkan keciciran sepanjang mengikuti pengajian Tingkatan Enam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru, pentadbir dan ibu bapa yang disifatkan memainkan peranan besar dalam memastikan pencapaian pelajar STPM terus meningkat dari tahun ke tahun.

+ - reset