TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jangan terpedaya politik populis 'Hollywood' di media sosial - Pemangku Sultan Johor

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 22 Jun – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menasihati seluruh rakyat negeri ini agar tidak mudah terperangkap dengan dakyah golongan ahli politik populis yang sekadar bersandarkan kepada populariti di platform media sosial.

Baginda menegaskan bahawa keutamaan harus diberikan kepada penilaian terhadap prestasi serta kredibiliti sebenar seseorang pemimpin dalam menggalas amanah bagi memberikan impak positif kepada masyarakat.

Sambil mengakui memahami keperluan wakil rakyat menonjolkan aktiviti mereka di alam maya demi mengekalkan interaksi bersama masyarakat, baginda mengingatkan orang ramai agar kekal berwaspada dengan sandiwara politik sesetengah pihak yang disifatkan baginda umpama industri perfileman 'Hollywood'.

Titah baginda, golongan muda khususnya perlu menyelidiki rekod perkhidmatan secara mendalam sebelum membuat sebarang penentuan memandangkan terdapat pihak tertentu, terutamanya di kawasan Muar, yang dilihat lebih gemar menampilkan watak drama berbanding bekerja keras demi rakyat.

Penegasan tersebut disuarakan baginda sewaktu menghadiri sesi Podcast Bual Santai Petang bersama Orang Muda Johor yang berlangsung di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Muar, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai cabaran pentadbiran, Tunku Mahkota Ismail turut berkongsi pengalaman baginda berurusan dengan pihak tertentu yang hanya mahir menuding jari dan mencari kelemahan orang lain tanpa mempunyai sebarang keupayaan untuk melaksanakan tugasan dengan berkesan.

Baginda turut mengingatkan bahawa tugas menjadi pengkritik atau pembangkang adalah jauh lebih mudah berbanding tanggungjawab mengemudi sesebuah kerajaan yang menuntut kebijaksanaan serta kompetensi sebenar untuk mentadbir demi kesejahteraan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, baginda mendedahkan bahawa institusi diraja Johor secara konsisten telah memperuntukkan dana kebajikan melebihi RM100 juta setiap tahun bagi menyalurkan pelbagai bentuk bantuan langsung kepada Bangsa Johor.

Dana tahunan berskala besar tersebut disalurkan bagi merangkumi sektor penjagaan kesihatan hospital, pembiayaan pendidikan, agihan bekalan makanan, serta tajaan khas buat golongan memerlukan untuk menunaikan ibadah haji.

Baginda mengakhiri titah dengan menjelaskan bahawa segala sumbangan murni berkenaan sengaja tidak dihebohkan kepada pengetahuan umum menerusi media sosial kerana ia dilaksanakan atas dasar tanggungjawab dan keikhlasan yang mutlak terhadap rakyat.

+ - reset