TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

'Jangan beri sisa pada madrasah', PU Syed kesal individu sumbang 20 plastik daging korban busuk

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 JUN - Niat murni bertukar hampa apabila sebuah kompleks pendidikan menerima sumbangan 20 plastik daging korban yang dipercayai sudah rosak, berbau busuk dan bertukar warna kehitaman.

Insiden tersebut dikongsikan oleh pendakwah bebas, PU Syed, menerusi laman media sosialnya yang meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir masyarakat apabila tidak sensitif ketika menghulurkan sumbangan kepada institusi kebajikan atau madrasah.

Menurut beliau, sumbangan tersebut dihantar oleh seorang individu ke Kompleks Pendidikan Baitul Dhiya'. 

Bagaimanapun, keadaan sebenar daging berkenaan hanya disedari oleh tukang masak kompleks tersebut ketika mahu menyediakannya.

"Tukang masak memaklumkan daging tersebut dah berbau dan kelihatan daging juga sudah nampak kehitaman. Hamba Allah itu cakap berbau sebab darah. Ada ke macam itu?" soalnya di media sosial.

Lebih mengecewakan, sumbangan tersebut dihantar pada 7 Muharam, iaitu hampir sebulan selepas umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha. 

Kelewatan itu dipercayai menjadi punca utama daging tersebut mengalami kerosakan tekstur dan bau akibat kaedah penyimpanan yang tidak betul.

Disebabkan bimbang terhadap faktor keselamatan dan kesihatan para pelajar, pihak pengurusan kompleks mengambil keputusan untuk tidak memasak daging tersebut.

"Mengambil kira daging tersebut sudah berbau dan berwarna kehitaman, mereka mengambil kira untuk menanamnya sahaja. Niat sedekah begini, akhirnya jadi sampah juga," jelasnya lagi.

PU Syed sempat mengingatkan orang ramai agar berlapang dada dan teliti sebelum menghulurkan bantuan. 

Beliau menegaskan bahawa pihak madrasah sentiasa bersyukur dengan sumbangan orang ramai, namun biarlah ia dalam keadaan yang baik dan layak dimakan.

 

+ - reset