TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki maut tercampak 30 meter selepas SUV terbabas rempuh motosikal berteduh

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 26 Jun – Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak dari jejambat setinggi kira-kira 30 meter apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh dua motosikal yang sedang berteduh daripada hujan di Kilometer 15.8 Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) arah Setiawangsa menghala ke Sungai Besi, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa lelaki tempatan berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan melibatkan sebuah Proton X50 dan dua motosikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Proton X50 yang dipandu wanita tempatan berusia 21 tahun dipercayai hilang kawalan ketika hujan lebat sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar dua motosikal yang sedang berteduh di bawah jejambat berkenaan.

"Kemalangan menyebabkan seorang lelaki tempatan tercampak dan jatuh kira-kira 30 meter ke bawah jejambat dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang lagi penunggang motosikal dan pemboncengnya masing-masing lelaki tempatan berusia 18 tahun cedera di muka dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pemandu SUV terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil ujian saringan alkohol mendapati wanita itu negatif.

"Pemandu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk menjalani ujian saringan air kencing.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.

+ - reset