Berita Berita
PM Anwar kekal pemimpin politik raih sokongan tertinggi - Tinjauan Merdeka Center
KUALA LUMPUR 26 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mencatat kadar sokongan tertinggi dalam kalangan pemimpin politik negara apabila memperoleh penarafan positif sebanyak 52 peratus berdasarkan tinjauan terbaharu Merdeka Center.
Menerusi kajian yang dijalankan antara 12 Mac hingga 9 April lalu, sebanyak 42 peratus pengundi berpendapat Malaysia berada di landasan yang betul meskipun berdepan ketidaktentuan global dan cabaran ekonomi.
Merdeka Center dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis memaklumkan, angka tersebut kekal tidak berubah berbanding tinjauan yang dijalankan pada Disember 2025 dan Februari 2026.
Menurut kenyataan itu, 39 peratus responden Melayu berpandangan negara berada di landasan yang betul berbanding 50 peratus responden Cina dan 33 peratus responden India.
Mengikut kumpulan umur pula, responden berusia 21 hingga 30 tahun merekodkan sentimen paling positif iaitu 57 peratus, manakala kumpulan berusia 51 hingga 60 tahun merupakan yang paling kurang optimistik dengan hanya 32 peratus.
Tinjauan sama turut mendapati sebanyak 50 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Persekutuan, manakala 48 peratus lagi menyatakan sebaliknya.
Berdasarkan pecahan etnik, bumiputera Muslim dan bukan Muslim dari Sabah dan Sarawak merekodkan tahap kepuasan tertinggi sebanyak 68 peratus, diikuti responden Cina (53 peratus), India (46 peratus) dan Melayu (44 peratus).
Golongan muda berusia 21 hingga 30 tahun turut mencatat kadar kepuasan tertinggi terhadap Kerajaan Persekutuan apabila 64 peratus daripada mereka menyatakan sokongan.
Selain itu, tinjauan berkenaan menunjukkan sokongan terhadap agenda reformasi institusi kekal kukuh, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pelaksanaan pilihan raya secara langsung bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Menurut Merdeka Center, sokongan terhadap cadangan reformasi itu memperlihatkan perbezaan yang kecil antara responden Melayu dan bukan Melayu, sekali gus menunjukkan penerimaan yang meluas merentasi pelbagai kaum.
Tinjauan tersebut melibatkan 1,209 pengundi yang terdiri daripada 51 peratus Melayu, 27 peratus Cina, lapan peratus India serta masing-masing tujuh peratus bumiputera Muslim dan bumiputera bukan Muslim dari Sabah dan Sarawak menerusi temu bual telefon menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata bagi mencerminkan demografi pengundi di Malaysia.
Berita berkaitan
June 26, 2026, 12:35 pm
MyExpo Dili 2026 kembali buka peluang pelaburan baharu ASEAN di Timor-Leste
June 26, 2026, 10:41 am
Budak 5 tahun maut terjatuh tingkat 24 kondominium
June 26, 2026, 9:30 am
PDRM rekod 14,211 tindakan tatatertib, SPRM 226 kes
June 26, 2026, 8:47 am
Nahas dua maut, kereta pegawai polis hilang kawalan ketika memotong di Lenggong
June 26, 2026, 8:27 am
Lelaki maut tercampak 30 meter selepas SUV terbabas rempuh motosikal berteduh
June 26, 2026, 7:53 am
Lelaki meninggal dunia ketika bermain boling
June 25, 2026, 10:48 pm
Bayi 11 bulan maut, jatuh kerusi di rumah pengasuh ketika disuap makan
June 25, 2026, 9:39 pm
