Berita Berita
PDRM rekod 14,211 tindakan tatatertib, SPRM 226 kes
KUALA LUMPUR 26 Jun – Seramai 226 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tempoh empat tahun bermula 2021, jauh lebih rendah berbanding tiga lagi agensi penguatkuasaan utama negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, statistik Jabatan Perkhidmatan Awam menunjukkan sebanyak 40 kes direkodkan pada 2021, diikuti 68 kes pada 2022, 51 kes pada 2023 dan 67 kes sehingga September 2024.
Menurut beliau, dalam tempoh sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 14,211 tindakan tatatertib, diikuti Jabatan Imigresen Malaysia (348 kes) dan Jabatan Penjara Malaysia (312 kes).
Beliau berkata, dari aspek siasatan rasuah pula, sebanyak 21 kertas siasatan dibuka terhadap pegawai SPRM sepanjang tempoh 2021 hingga Jun tahun ini.
Sebagai perbandingan, sebanyak 377 kertas siasatan rasuah dibuka terhadap anggota PDRM, diikuti Jabatan Imigresen Malaysia (234 kes) dan Jabatan Penjara Malaysia (20 kes).
“Data yang direkodkan adalah keputusan kes tatatertib yang diambil membabitkan warga SPRM dan agensi ini juga mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran integriti.
“Setiap aduan atau maklumat yang diterima akan dinilai dan diuruskan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan sekiranya terdapat asas dan pembuktian yang mencukupi, tindakan tatatertib atau perundangan akan diambil tanpa mengira pangkat atau jawatan pegawai yang terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen bagi menjawab pertanyaan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang meminta kerajaan menerbitkan statistik integriti warga SPRM secara tahunan sebagai petunjuk akauntabiliti institusi.
Azalina berkata, tahap integriti warga SPRM turut dipantau oleh Jawatankuasa Aduan (JKA) di bawah Seksyen 15 Akta SPRM 2009 yang berfungsi memantau pengendalian aduan salah laku pegawai SPRM yang tidak bersifat jenayah.
“Ia berfungsi bagi memantau pengendalian SPRM membabitkan aduan salah laku pegawai di suruhanjaya ini yang tidak bersifat jenayah. Mereka yang dilantik menganggotai JKA terdiri daripada golongan profesional dalam pelbagai bidang,” katanya.
Beliau menambah, Kerajaan MADANI dan SPRM akan terus memperkasakan mekanisme pemantauan dalaman serta memperkukuh budaya integriti dalam kalangan warga suruhanjaya itu bagi memastikan tahap akauntabiliti yang tinggi terus dikekalkan dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM sentiasa terpelihara.
Berita berkaitan
June 26, 2026, 12:35 pm
MyExpo Dili 2026 kembali buka peluang pelaburan baharu ASEAN di Timor-Leste
June 26, 2026, 10:41 am
Budak 5 tahun maut terjatuh tingkat 24 kondominium
June 26, 2026, 8:55 am
PM Anwar kekal pemimpin politik raih sokongan tertinggi - Tinjauan Merdeka Center
June 26, 2026, 8:47 am
Nahas dua maut, kereta pegawai polis hilang kawalan ketika memotong di Lenggong
June 26, 2026, 8:27 am
Lelaki maut tercampak 30 meter selepas SUV terbabas rempuh motosikal berteduh
June 26, 2026, 7:53 am
Lelaki meninggal dunia ketika bermain boling
June 25, 2026, 10:48 pm
Bayi 11 bulan maut, jatuh kerusi di rumah pengasuh ketika disuap makan
June 25, 2026, 9:39 pm
