TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Johor: Pas sasar jadi pembangkang, mahu Melayu-Islam terajui Johor

By
|
Kongsi
image

 

MARANG 26 Jun - Pas menyasarkan kemenangan di semua 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi membolehkan parti itu berperanan sebagai blok pembangkang yang kuat serta penasihat kepada kerajaan negeri.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan untuk bertanding di 11 kerusi dibuat selepas penelitian rapi terhadap kawasan yang diyakini mempunyai potensi kemenangan, termasuk DUN Maharani.

"Kita bertanding 11 (kerusi), 11 lah (semua disasarkan menang). Kita pilih kerusi yang ada keyakinan untuk menang. InsyaALLAH, mudah-mudahan," katanya ketika ditemui selepas kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, Pas juga berpandangan pentadbiran Johor perlu terus diterajui kepimpinan Melayu-Islam bagi memastikan negeri itu tidak dikuasai fahaman yang disifatkannya bertentangan dengan prinsip parti.

"Apa yang penting, kita mahu negeri Johor diperintah oleh orang Melayu-Islam. Tak mahu dikuasai oleh puak-puak liberal, puak-puak bukan Islam. Biar orang Islam yang perintah Johor," katanya lagi.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) setakat malam Khamis mengumumkan akan bertanding di 33 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Johor yang dijadual berlangsung pada 11 Julai depan.

Daripada jumlah itu, Pas akan bertanding di 11 kerusi, Bersatu di 16 kerusi, manakala Malaysian Indian People's Party (MIPP) di lima kerusi. Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang menggunakan lambang PN pula akan bertanding di satu kerusi.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah kerusi yang ditandingi Pas pada PRN Johor kali ini dikurangkan kepada 11 berbanding 15 kerusi pada pilihan raya negeri sebelum ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan pengurangan jumlah kerusi itu bukan satu isu kerana ia dibuat berdasarkan pertimbangan semasa serta strategi terbaik bagi menghadapi PRN Johor ke-16.

+ - reset