Berita Berita
Ops Mega: Cubaan warga asing bolos gagal, 86 PATI ditahan di Plaza GM Klang
KLANG 3 Julai – Cubaan sebilangan warga asing melarikan diri ketika Plaza GM di Bandar Botanik di sini diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengundang padah apabila tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menahan seramai 86 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi khas, Rabu lalu.
Serbuan berskala besar menerusi Ops Mega itu digerakkan hasil kerjasama strategik berlandaskan pendekatan Whole-of-Government bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurut kenyataan rasmi JIM hari ini, operasi bersepadu yang bermula jam 5 petang itu melibatkan kekuatan seramai 125 pegawai penguat kuasa, selepas melakukan risikan terperinci serta mengumpul aduan awam selama dua minggu.
Hasil pemeriksaan ke atas 50 buah premis perniagaan dan 327 individu di kompleks borong berkenaan, pihak berkuasa mengesahkan penahanan 86 warga asing atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Mereka yang ditahan terdiri daripada warga China, Kemboja, Filipina, Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh, dan Pakistan.
"Ketika operasi dijalankan, terdapat beberapa warga asing cuba melarikan diri bagi mengelak diperiksa. Bagaimanapun, cubaan tersebut berjaya dipatahkan sepenuhnya hasil koordinasi mantap pasukan operasi di lapangan serta bantuan unit dron yang digunakan untuk memantau ketat setiap laluan keluar di premis berkenaan," jelas kenyataan itu.
Selain penahanan warga asing, JIM turut mengeluarkan 11 Borang 29 (Saman Saksi) kepada beberapa warganegara Malaysia di lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut berhubung kehadiran pekerja asing terbabit.
Dalam operasi sama, JPN turut menahan seorang wanita tempatan kerana disyaki menyalahgunakan identiti dengan menggunakan kad pengenalan milik individu lain. Kes tersebut akan disiasat secara berasingan mengikut peruntukan Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78).
Kesemua PATI yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan proses dokumentasi, siasatan mendalam, dan tindakan undang-undang susulan.
JIM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang memasuki negara secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh, atau menyalahgunakan pas lawatan. Tindakan perundangan yang tegas juga akan diambil terhadap mana-mana majikan atau pemilik premis tempatan yang didapati menggaji, melindungi, atau bersubahat dengan PATI.
Berita berkaitan
July 3, 2026, 4:52 pm
DBKL keluar notis, kompaun JMB 'Bund Shanghai' gagal patuhi arahan
July 3, 2026, 4:13 pm
Lelaki maut tersepit, Alza bertembung Alphard di Bera
July 3, 2026, 4:04 pm
TEKUN bantu dua beradik hilang kaki bina hidup semula berniaga cendol
July 3, 2026, 4:02 pm
Isu JS-SEZ: Anwar sifatkan Onn Hafiz 'tak cerdik' guna projek pusat sebagai modal kempen
July 3, 2026, 3:53 pm
Isu lantikan di NFCC: Kuasa batal keanggotaan Azam Baki tertakluk pada Agong – PM
July 3, 2026, 2:43 pm
Kerajaan lulus peruntukan tambahan RM10 juta perkasa industri teksi – Anwar
July 3, 2026, 2:18 pm
