TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya dilantik Agong sebagai penasihat NFCC, bukan kerana jawatan di SPRM' - Azam Baki

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 3 Julai – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan pelantikannya sebagai anggota Lembaga Penasihat Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan bukan kerana jawatannya di SPRM.

Beliau berkata, pelantikan itu dibuat mengikut Seksyen 5 Akta NFCC dan berdasarkan pengalaman selama 37 tahun dalam bidang penguatkuasaan.

“Saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bukan sebab jawatan saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, tetapi kerana 37 tahun pengalaman dalam penguatkuasaan,” katanya kepada BH.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan mengenai justifikasi pelantikannya sebagai penasihat NFCC.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan pelantikan tersebut ketika sidang media di Parlimen dengan mendakwa Azam sebelum ini dikaitkan dengan beberapa isu termasuk dakwaan membabitkan pemilikan saham dan korporat.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan turut menggesa kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung pelantikan Azam sebagai penasihat NFCC.

Menurut Azam, beliau pertama kali dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat NFCC pada Mac 2021 hingga Mac 2024 sebelum dilantik semula bagi tempoh 20 September 2024 hingga 19 September 2027.

“Sewajarnya sesiapa yang mempertikaikan perlantikan saya ini mendapatkan fakta yang sebenar daripada pihak NFCC ataupun bertanya dengan saya terlebih dahulu.

“Perlantikan saya ini adalah atas perkenan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan atas nasihat Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Dr Ismail Sabri),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil menerusi satu kenyataan menjelaskan pelantikan Azam sebagai anggota Lembaga Penasihat NFCC dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, keanggotaan Azam tidak terikat kepada jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan, melainkan ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Sehubungan itu, kehadiran Azam dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu adalah selaras dengan Akta 822 kerana beliau merupakan anggota Lembaga Penasihat,” katanya.

+ - reset