Berita Berita
TEKUN bantu dua beradik hilang kaki bina hidup semula berniaga cendol
KUANTAN 3 Julai - Kegigihan dua beradik orang kurang upaya (OKU) yang bangkit membina semula kehidupan dengan mengusahakan perniagaan cendol selepas kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya mendapat perhatian Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.
TEKUN Nasional menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, permohonan pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan OKU TEKUN Nasional bagi membantu Nik Haznita Saffiya Nik Husmadi, 20, dan adiknya, Nik Haziera Saffiya, 18, telah diluluskan bagi memperkukuh perniagaan serta meningkatkan sumber pendapatan mereka.
Menurut TEKUN Nasional, pihaknya mengambil langkah itu selepas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud mengesyorkan agar pegawai agensi berkenaan turun padang bertemu dua beradik itu untuk meninjau sendiri perkembangan perniagaan serta keperluan mereka.
"Hasil daripada lawatan tersebut, permohonan pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan OKU TEKUN Nasional telah diluluskan untuk mereka.
"Semoga pembiayaan yang disalurkan menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan mereka serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan untuk terus bangkit dan berjaya walau berdepan pelbagai cabaran," ujarnya.
Sebelum ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan kedua-dua beradik itu akan menerima Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) bermula Ogos ini bagi memperkasakan ekonomi dan menyokong kegigihan mereka.
Melalui kenyataan agensi itu, kedua-duanya akan menerima elaun sebanyak RM450 seorang sebulan, menjadikan keseluruhan RM900 sebulan.
Selain itu, mereka sebelum ini turut menerima Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) sebanyak RM500 seorang, Tabung Bantuan Segera (TBS) serta bantuan kerusi roda khas bagi membantu proses pemulihan.
Sebelum ini, media melaporkan kegigihan dua beradik terbabit membangunkan semula perniagaan keluarga selepas melalui detik hitam dalam kemalangan jalan raya pada 7 Februari tahun lalu.
Mereka kini mengusahakan perniagaan Cendol Meleleh di Taman Seri Lebak, Temerloh bagi membantu bapa menambah pendapatan keluarga.
Dalam kejadian pada 7 Februari tahun lalu, motosikal yang dinaiki Nik Haziera Saffiya bersama Nik Haznita Saffiya terlibat dalam nahas dengan sebuah lori sehingga menyebabkan kaki kanan kedua-dua beradik itu terpaksa dipotong akibat kecederaan parah.
Berita berkaitan
July 3, 2026, 4:52 pm
DBKL keluar notis, kompaun JMB 'Bund Shanghai' gagal patuhi arahan
July 3, 2026, 4:13 pm
Lelaki maut tersepit, Alza bertembung Alphard di Bera
July 3, 2026, 4:02 pm
Isu JS-SEZ: Anwar sifatkan Onn Hafiz 'tak cerdik' guna projek pusat sebagai modal kempen
July 3, 2026, 3:53 pm
Isu lantikan di NFCC: Kuasa batal keanggotaan Azam Baki tertakluk pada Agong – PM
July 3, 2026, 2:43 pm
Kerajaan lulus peruntukan tambahan RM10 juta perkasa industri teksi – Anwar
July 3, 2026, 2:18 pm
'Saya dilantik Agong sebagai penasihat NFCC, bukan kerana jawatan di SPRM' - Azam Baki
July 3, 2026, 11:56 am
